Menganalisis
Unsur-Unsur Tradisi Dalam Perlembagaan Malaysia
1.0 Pengenalan
Tiada satu negara memiliki bentuk dan
struktur perlembagaan yang sama. Di dunia ini terdapat pelbagai bentuk dan
struktur perlembagaan. Perkara ini berlaku kerana perlembagaan sesebuah negara
adalah hasil perjalanan sejarah sosial setempat hasil interaksi dengan proses
migrasi dan globalisasi. Perlembagaan negara ini dipengaruhi oleh perjuangan
nasionalisme Melayu dan bumiputera serta penglibatan etnik-etnik lain yang
berunding sesama mereka dan dengan Sultan negeri-negeri dan British.
Perlembagaan Malaya dan Malaysia memperuntukkan kedudukan anak watan dalam
kalangan Melayu dan bumiputera, Orang Asli dan juga etnik-etnik lain.
Perlembagaannya bersifat mengurus etnonasionalisme anak watan dan keperluan
masyarakat pelbagai etnik yang sivil. Pengalaman pemerintahan persekutuan di
Negeri Sembilan dijadikan asas untuk membina negara moden Malaya dan Malaysia.
Kepentingan setiap rakyat, negeri dan kumpulan minoriti diambil kira dan
dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh setiap negeri.
2.0 Definisi dan Konsep Perlembagaan
Malaysia.
Perlembagaan
merupakan dokumen yang mengandungi semua undang- undang tertinggi yang mustahak
bagi penubuhan dan kewujudan sesebuah negara dan sistem politiknya.
Perlembagaan menjadi sumber kepada undang-undang dalam negara berkenaan. Semua
undang- undang lain tidak boleh bertentangan dengan undang-undang dan
prinsip-prinsip perlembagaan dan jika bertentangan, maka undang- undang
perlembagaan yang lebih unggul diterima pakai sebagai undang- undang yang lebih
utama. Undang-undang perlembagaan dengan itu dapat membatalkan mana-mana
undang-undang lain yang bertentangan dengannya (Mohd Salleh 1984).
Hashim (1983) pula berpendapat perlembagaan lebih daripada apa- apa perkara
yang hanya berkenaan dengan urusan kerajaan, rangka-rangka demokrasi dan
perlindungan akan hak-hak rakyatnya. Perlembagaan juga ialah sebuah dokumen
yang mengandungi peruntukan-peruntukan asas tertentu yang secara tersendiri
mencerminkan pertimbangan suasana muhibah, penerimaannya yang murni dan
kesefahaman antara rakyatnya. Perlembagaan bukan sekadar satu dokumen
undang-undang tetapi ialah dokumen yang tidak terpisah daripada sejarah,
perkembangan dan tradisi sesuatu negara khususnya di Malaysia yang terdiri
daripada pelbagai etnik.
Perlembagaan
Persekutuan juga mengguna pakai konsep ketertinggian perlembagaan. Melalui
konsep ini, tidak terdapat institusi yang mengatasi ketertinggian Perlembagaan
Persekutuan. Malahan ketiga-tiga badan kerajaan, iaitu perundangan, kehakiman
dan eksekutif mahupun Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepada Perlembagaan
Persekutuan (Mohamed Suffian 1987). Sebagai contoh, kuasa perundangan hendaklah
dijalankan tertakluk kepada peruntukan yang dikenakan oleh perlembagaan.
Malah,
undang-undang persekutuan atau negeri mengenai sesuatu perkara boleh
diisytiharkan sebagai tidak sah oleh mahkamah jika undang-undang itu bercanggah
dengan Perlembagaan Persekutuan setakat mana ia bercanggah. Hal ini kerana
perlembagaan memperuntukkan dengan nyata Perkara 4(1) bahawa Perlembagaan
Persekutuan ialah undang-undang utama persekutuan dan apa-apa undang-undang
yang diluluskan selepas hari Merdeka dan yang berlawanan dengan perlembagaan ini
hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.
3.0
Sejarah
Penggubalan Perlembagaan Persekutuan
Di Malaysia,
sebelum kewujudan Hukum Kanun Melaka yang ditulis pada masa pemerintahan Sultan
Muzaffar Shah (1446-1456) oleh Hang Sidi Ahmad dan Undang-Undang laut Melaka,
perundangan Islam telah diamalkan lebih awal daripada itu melalui Prasasti
Terengganu yang bertarikh 14 Rejab 702H bersamaan 22 Februari 1303 (Syed Naquib
1970). Prasasti Terengganu memperuntukkan beberapa peraturan berhubung dengan
jenayah, urus niaga dan pentadbiran. Manakala perlembagaan bertulis yang paling
awal dihasilkan di Tanah Melayu adalah pada tahun
1895, iaitu Perlembagaan Negeri Johor diikuti dengan PerlembagaanTerengganu
1911.
Dalam perlembagaan tersebut, diperuntukkan bahawa seorang raja hendaklah
berbangsa Melayu, berdarah raja, seorang keturunan raja-raja Johor, lelaki dan
menganut agama Islam. Malah menteri-menteri juga mesti Melayu, rakyat sultan
dan menganuti agama Islam. Sementara dalam perkara VII pula diperuntukkan bahawa
agama negeri bagi negeri Johor ialah agama Islam. Agama Islam hendaklah secara
terus-menerus dan selamanya menjadi agama negeri Johor (Muhamad Arifin 1999).
Peruntukan ini kekal termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri- Negeri yang
beraja sehingga kini.
Undang-undang tersebut tidak boleh disamakan dengan prinsip- prinsip
perlembagaan moden disebabkan nilai dan struktur masyarakat pada masa itu
berbeza dengan situasi masa kini. Justeru, perlembagaan di Tanah Melayu telah
bermula sejak kewujudan Hukum Kanun Melaka lagi. Bahan-bahan sejarah termasuk
Hukum Kanun Melaka adalah antara bukti jelas yang menunjukkan negara ini telah
mempunyai sistem perlembagaan sebelum kuasa Eropah tiba di Tanah Melayu (Abdul
Aziz
2008). Hal ini kerana sifat dan kandungan sesebuah perlembagaan itu bergantung
atau dipengaruhi oleh keperluan zamannya.
3.1
Malayan Union
Menurut
Perlembagaan Malayan Union, Malayan Union akan diperintah oleh Gabenor bagi
memastikan penyelarasan dasar dan pentadbiran antara Tanah Melayu, Singapura, Brunei,
Sabah dan Sarawak. Sultan- sultan cuma menjadi raja kehormat sahaja. Manakala
majlis yang membincangkan hal ehwal agama Islam akan dianggotai oleh sultan-
sultan tetapi Gabenor yang menjadi pengerusinya. Perlembagaan Malayan Union
juga cuba memberikan hak kerakyatan kepada golongan bukan Melayu menerusi
prinsip jus soli yang bermaksud jika seseorang itu dilahirkan di Tanah Melayu
selepas Malayan Union, seseorang itu berhak menerima kerakyatan dengan mudah.
Dari segi pentadbiran, Gabenor memerintah bersama-sama dengan Majlis Penasihat
sehingga dua badan tetap, iaitu Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat
Kerajaan dapat ditubuhkan (Zainal Abidin 1979).
Setelah memperoleh bidang kuasa ke atas negeri-negeri Melayu, kerajaan British
melalui Perintah Malayan Union dalam Majlis 1946 dan Arahan Diraja pada 27 Mac
1946, telah mengisytiharkan Malayan Union pada 1 April 1946 (Mohamed Suffian
1970). Bagaimanapun, hanya sebahagian daripada perlembagaan Malayan Union yang
dikuatkuasakan. Malayan Union tidak dapat bertahan lama dan menjelang Februari
1948 ia dibubarkan kerana mendapat tentangan daripada orang Melayu kerana
sebab-sebab berikut:
i. Kuasa Raja-raja Melayu dilenyapkan dalam urusan pentadbiran negeri dan hanya
berkuasa dalam soal agama Islam, adat istiadat Melayu dan mengetuai Majlis
Penasihat Melayu.
ii.
Pemberian hak kerakyatan yang sama pada kaum-kaum lain melaluiprinsip jus soli.
iii. Hak
sama rata kepada semua warganegara tanpa mengira bangsa iaitu penduduk peribumi
tidak memiliki apa-apa keistimewaan.
iv. Cara
Harold MacMichael mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu yang menggunakan
cara paksaan dan ugutan seperti Sultan Kedah telah diberi kata dua, iaitu
menandatangani persetujuan Malayan Union atau dilucutkan daripada takhta
pemerintahan.Orang Melayu mula mengadakan beberapa rapat umum dan tunjuk perasaan
menentang Malayan Union. Keberhasilan orang Melayu membubarkan Malayan Union
memperlihatkan kejayaan orang Melayu mengembalikan semula kuasa dan martabat
Raja-raja Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan.
3.2
Persekutuan Tanah Melayu 1948
Malayan
Union diganti dengan sebuah persekutuan, iaitu Persekutuan Tanah Melayu 1948.
Wilayahnya meliputi wilayah yang dicadangkan bagi Malayan Union. Menerusi
konsep persekutuan ini, kerajaan pusat berkuasa dalam semua perkara yang
penting secara menyeluruh tetapi pada masa yang sama ia mengekalkan autonomi
negeri-negeri serta menghormati kebesaran, martabat dan bidang kuasa Raja-raja
dalam hal ehwal Islam dan adat istiadat Melayu. Persekutuan Tanah Melayu telah
diisytiharkan pada 1 Februari 1948 di bawah Perintah Majlis Persekutuan Tanah
Melayu 1948 meliputi sembilan negeri Melayu dan dua daripada tiga Negeri-negeri
Selat, iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Singapura terpisah sebagai sebuah Tanah
Jajahan Mahkota di luar Persekutuan kerana orang Melayu merasakan mereka
mungkin dikuasai oleh orang Cina sekiranya Singapura menyertai Persekutuan
Tanah Melayu dari segi bilangan penduduk.
Perlembagaan baharu ini telah memenuhi kehendak pihak yang terbabit dalam
pertikaian tentang idea penubuhan Malayan Union. Kedaulatan Raja-raja Melayu
telah dikembalikan, begitu juga dengan kedudukan istimewa orang Melayu serta
prinsip jus soli telah digugurkan. Pembentukan persekutuan merupakan satu
kejayaan kepada orang Melayu kerana mengiktiraf kedaulatan dan hak
negeri-negeri yang dahulunya telah dihapuskan dalam Malayan Union. Perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah menjadi asas bagi Perlembagaan Persekutuan
Tanah Melayu 1957 (Mohd Aris 1983).
Dengan
penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, kerjasama antara etnik Melayu dan bukan
Melayu mula terjalin. Sebagai contoh, penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Kaum
1949 yang terdiri daripada pelbagai etnik telah berusaha menyelesaikan
sesetengah masalah perlembagaan,
politik dan ekonomi yang wujud akibat permintaan yang berlainan daripada
pelbagai etnik. Maka, pada Pilihan Raya Umum 1955, Parti Perikatan telah
bertanding dalam pilihan raya dengan meletakkan calon bagi semua 52 kerusi
iaitu Parti Negara sebanyak 33 kerusi dan PAS sebanyak11 kerusi. Jika dilihat
dari segi pembahagian kerusi dan calon, ternyata Perikatan yang diterajui oleh
UMNO telah mengamalkan konsep perkongsian kuasa melalui pembahagian kerusi
dalam pilihan raya ini. Hal ini kerana walaupun pada Persidangan Perwakilan
UMNO, ahli UMNO meminta 40 kerusi diberikan kepada UMNO atas alasan jumlah
pengundi Melayu ialah 84.2 peratus, tetapi demi perpaduan dan mengamalkan
konsep perkongsian kuasa, UMNO diperuntukkan 35 kerusi sahaja, MCA 15 kerusi
dan MIC sebanyak dua kerusi. Berasaskan kekuatan mengundi, UMNO sepatutnya
menuntut tidak kurang daripada 90 peratus daripada jumlah kerusi.
Satu perkara
yang menarik semasa Pilihan Raya Umum 1955 ialah penolakan sikap perkauman
dalam kalangan orang Melayu. Jika orang Melayu bersikap perkauman, mereka boleh
menubuhkan kerajaan Melayu dan menggubal satu perlembagaan bagi Tanah Melayu
yang merdeka. Pastinya perlembagaan tersebut akan menjamin kekuasaan orang
Melayu dengan cara yang berterusan. Pada Julai 1954, Perikatan dan pihak
British telah bersetuju untuk mengadakan sebuah Majlis Perundangan Persekutuan
yang mempunyai 98 orang ahli, 52 daripadanya adalah dipilih dan 46 orang lagi
dilantik. Daripada 46 ahli yang dilantik ini, lima orang daripadanya dicalonkan
oleh parti politik yang mendapat majoriti dalam pilihan raya. Dalam pilihan
raya ini, pengundi Melayu adalah majoriti dalam 50 daripada 52 kawasan pilihan
raya kerana 84 peratus daripada pengundi adalah daripada pengundi seluruh negara.
Selain itu, daripada 46 orang ahli yang dilantik terdiri daripada orang Melayu
iaitu sembilan orang Menteri Besar (Zainal Abidin 1996).
Oleh yang demikian, sekiranya orang Melayu bersikap perkauman, mereka boleh
memenangi 50 kerusi yang dipertandingkan dan boleh mencalonkan lima lagi ahli
Melayu daripada 46 ahli yang dilantik. Maka, orang Melayu akan mendapat 65 ahli
termasuk seorang wakil Orang Asli. Jumlah ini adalah lebih 2/3 daripada jumlah
ahli dalam Majlis Perundangan. Hal ini juga bermakna orang Melayu mempunyai
cukup majoriti untuk meminda perlembagaan atau menggubal perlembagaan baru yang
menguntungkan orang Melayu. Namun demikian, orang Melayu tidak menggunakan
peluang ini demi kepentingan perhubungan dan perpaduan antara etnik.
Pengorbanan yang telah dibuat oleh orang Melayu pada masa itu adalah sangat
besar yang mendorong kepada semangat toleransi antara etnik.
Dalam konteks ini, isu mengenai kemerdekaan melewati batas perkauman dan
mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Perkara ini membolehkan mereka
mengetepikan pandangan sempit perkauman dan bekerja ke arah menuntut
kemerdekaan daripada penjajah. Setelah berunding dengan Pesuruhjaya Tinggi, Sir
Donald MacGillivray, Tunku membentuk Kabinet yang terdiri daripada komposisi
berbilang kaum, iaitu enam orang Melayu, tiga orang Cina, dan seorang India.
Pemilihan Kabinet ini menunjukkan satu kerjasama yang baik dengan pelantikan
tiga orang Cina dan seorang India untuk memberikan keseimbangan etnik yang
lebih diterima dalam Majlis Legislatif.
3.3
Suruhanjaya Reid
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah digubal oleh Suruhanjaya Reid yang
ditubuhkan pada tahun 1956. Keahliannya terdiri daripada lord Reid dari Britain
(Lord of Appeal in the Ordinary), Sir Ivor Jennings juga dari Britain (Master of
Trinity Hall, Cambridge), Sir William Mckell dari Australia (bekas Gabenor
Jeneral Australia), B. Malik dari India (bekas Hakim Besar Mahkamah Tinggi
Allahabad) dan Hakim Abdul Hamid dari Pakistan (Hakim Mahkamah Tinggi Pakistan
Barat). Menyentuh mengenai keahlian Suruhanjaya ini, Perikatan bersetuju dengan
anggota-anggota Suruhanjaya yang akan dipilih oleh British sendiri tanpa
melibatkan rakyat Tanah Melayu bagi menentukan dan bertanggungjawab merangka
perlembagaan. Hal ini disebabkan perundingan yang dijalankan di London
dianggotai oleh pegawai-pegawai British yang ramai, iaitu 35 orang berbanding
dengan wakil Perikatan dan Raja-raja Melayu seramai lapan orang. Perjanjian
London juga telah menetapkan agar perlembagaan yang hendak digubal perlu mengambil
kira perkara-perkara berikut:
i. Pembentukan sebuah persekutuan dengan kerajaan pusat yang kuat.
ii. Pemeliharaan kedudukan, keistimewaan, kehormatan dan hak Raja- raja Melayu.
iii. Pengwujudan jawatan ketua negara yang bergelar Yang di-Pertuan Agong.
iv. Pemeliharaan hak-hak istimewa orang Melayu serta hak-hak yang sah milik
kaum-kaum lain.
v. Pembentukan sebuah sistem kewarganegaraan yang seragam untuk seluruh
Persekutuan Tanah Melayu.
Suruhanjaya ini juga mempunyai dua objektif dalam menyediakan rangka
perlembagaan yang baharu, iaitu:
i. Mestilah ada peluang sepenuhnya untuk pertumbuhan sebuah negara yang bersatu
padu, bebas dan demokratik.
ii. Mestilah ada kemudahan lengkap untuk membangunkan sumber negara dan
mengekalkan serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
Berdasarkan perkara tersebut, Suruhanjaya ini juga meneliti kedudukan
perlembagaan unit-unit dalam Persekutuan, melawat negeri- negeri Melayu dan
Negeri Selat, berjumpa Raja-raja, Menteri-menteri Besar, Penasihat-penasihat
British, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Residen serta pegawai-pegawai negeri dan
Negeri Selat. Suruhanjaya ini juga telah membuat pertemuan secara terbuka dan
sering mengadakan mesyuarat tidak rasmi. Perlembagaan ini menjadi kukuh dan
praktikal serta dihormati kerana Suruhanjaya telah meminta cadangan dan
pandangan daripada bukan sahaja parti politik tetapi juga orang ramai, individu
dan Raja-raja Melayu. Hal ini menunjukkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu
1957 telah mendapat persetujuan dan pandangan majoriti rakyat Malaysia. Inilah
yang dikatakan permuafakatan sosial (kontrak sosial), iaitu orang Melayu dan
bukan Melayu bersetuju atas beberapa perkara yang sangat penting kepada
kestabilan negara. Dalam hal ini, Ahmad (1992) menjelaskan bahawa Perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu digubal hasil daripada persetujuan bersama yang telah
dicapai antara penduduk di Tanah Melayu daripada kalangan etnik Melayu, Cina
dan India. Perlembagaan Tanah Melayu bukan sahaja merupakan dokumen perundangan
bahkan merupakan kontrak sosial dan perjanjian perdamaian. Melalui
permuafakatan sosial ini, orang bukan Melayu diberikan hak kewarganegaraan yang
longgar berasaskan prinsip jus soli. Kedudukan orang Melayu dikekalkan dalam
perlembagaan dan begitu juga tentang kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan
kedudukan istimewa orang Melayu serta kedudukan Raja-raja Melayu.
3.4 Jawatankuasa Kerja dan Perisytiharan Perlembagaan
Satu jawatankuasa telah ditubuhkan oleh Perikatan, Raja-raja Melayu dan
kolonial British untuk mengkaji semula cadangan Suruhanjaya Reid tersebut bagi
menyediakan Kertas Putih. Laporan tersebut mengumpulkan hasil semakan dan
penelitian yang dibuat berkenaan dengan laporan yang disediakan oleh
Suruhanjaya Reid yang diserahkan kepada Baginda Ratu dan Raja-raja Melayu pada
Februari 1957. Kertas Putih yang mengandungi pindaan ke atas Penyata Reid dan
rangka perlembagaan yang disusun oleh jawatankuasa itu telah diterbitkan pada 3
Julai 1957. Jawatankuasa kerja dipengerusikan oleh MacGillivray dan termasuk
empat wakil dari Perikatan dan empat wakil dari Raja-raja Melayu. Wakil
Perikatan ialah Tunku Abdul Rahman (UMNO), Datuk Abdul Razak (UMNO), Ong Yoke
lin (MCA) dan V.T Sambathan (MIC), manakala wakil Raja-raja Melayu ialah
Mustapha Albakri (Penyimpan Mohor Besar Raja-raja), Shamsudin Nain, Tunku
Ismail Tunku Yahya dan Neil Lawson. Ahli lain ialah Ketua Setiausaha Kerajaan,
Sir David Watherston, Peguam Negara, T.V.A Brodie dan E.O laird yang bertindak
sebagai Setiausaha. Draf Perlembagaan Persekutuan diterima dan diisytiharkan sebagai
Perlembagaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Perlembagaan Persekutuan sekali
lagi diperbaharui apabila Singapura, Sabah dan Sarawak bergabung dengan Tanah
Melayu, lalu membentuk Malaysia pada 16 September 1963.
4.0 Unsur-unsur Tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan
Perkataan tradisi mempunyai pelbagai makna. Namun pada amnya, tradisi bermakna
pemindahan dan kesinambungan daripada satu generasi kepada generasi yang lain.
Perkara ini menggambarkan
bahawa tradisi mencerminkan sejarah, budaya dan fahaman sesuatu bangsa dan
masyarakat (Abdul Aziz 2002). Dalam konteks politik dan perlembagaan, yang
dimaksudkan dengan sistem tradisi merujuk kepada sistem yang wujud sebelum
kedatangan zaman moden, iaitu sebuah sistem yang keesahannya bergantung kepada
agama dan nilai-nilai asal lainnya. Terdapat beberapa negara luar yang masih
menekankan kepentingan institusi tradisi sehingga kini. Selain menjadi faktor
sejarah dan kesinambungan sesuatu bangsa, institusi tradisi dapat menampung
kekurangan yang sukar diatasi oleh sistem demokrasi.
Unsur-unsur tradisi ini perlu kerana telah wujud ratusan tahun sebelum
Perlembagaan Persekutuan 1957. Unsur-unsur berkenaan berperanan menstabilkan
sistem politik negara dan laporan yang dibuat oleh Suruhanjaya Reid menekankan
betapa pentingnya perlembagaan mengambil kira faktor-faktor sejarah, tradisi,
ekonomi dan sosial yang wujud sebelum tahun 1957 (Mohd Salleh 1984). Keadaan
ini menunjukkan betapa pentingnya unsur-unsur tradisi sehingga ia dilindungi di
bawah Akta Hasutan 1948 dan dianggap sebagai isu-isu sensitif yang dilarang
daripada dijadikan isu perbincangan awam. Bagi rakyat Malaysia, khususnya etnik
Melayu, unsur-unsur ini penting kerana perkara ini menjadi identiti dan
kestabilan negara.
Unsur-unsur tradisi juga merupakan satu prasyarat dan permuafakatan yang
diterima oleh etnik Melayu dan bukan Melayu. Maknanya, hak istimewa orang
Melayu, Islam sebagai agama persekutuan dan bahasa Melayu diterima sebagai
bahasa kebangsaan sebagai prasyarat penerimaan hak kewarganegaraan oleh etnik
bukan Melayu dikekal dan diperkukuhkan. Prasyarat ini menunjukkan bahawa
pemimpin terdahulu telah menerima satu formula bagi menyelesaikan masalah yang
wujud tanpa melibatkan konflik antara etnik di Tanah Melayu pada ketika
itu.Disebabkan kepentingan unsur-unsur tradisi yang mendasari perlembagaan
tersebut, maka unsur-unsur ini boleh dianggap sebagai tiang seri hubungan etnik
di Malaysia.
4.1 Kesultanan atau Pemerintahan Beraja
Pemerintahan beraja telah sedia wujud dalam sistem sosial di negeri- negeri
Melayu sejak berabad-abad lamanya. Menurut sistem beraja, raja mempunyai kuasa
mutlak dalam setiap pemerintahan dan pentadbiran negeri dengan dibantu oleh
pembesar-pembesar yang dilantik khususnya sebelum penjajahan British. Sebelum
Perang Dunia Kedua (1939-1945), sultan merupakan pemerintah yang berdaulat dan
memiliki kuasa penuh dalam negeri masing-masing walaupun berada dalam penjajahan
British. Pada masa yang sama, dalam beberapa perjanjian dengan British, sultan
perlu menerima nasihat daripada pegawai British yang dilantik sebagai Residen
atau Penasihat British kecuali yang menyentuh tentang agama Islam.
Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957,
institusi pemerintahan beraja diteruskan dengan beberapa pindaan supaya
disesuaikan dengan konsep demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
Menurut konsep Raja Berperlembagaan, mereka dikehendaki menerima nasihat
daripada menteri dan bertindak menurut nasihat itu. Sebagai contoh, di
peringkat pusat, Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugasnya menurut nasihat
Kabinet. Manakala di peringkat negeri pula, raja hendaklah bertindak atas
nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan.
Di peringkat Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mestilah dilantik, iaitu
seorang sultan yang dipilih daripada Raja-raja dari sembilan buah negeri
Melayu. Berdasarkan konsep Raja Berperlembagaan, Yang di- Pertuan Agong diberi
kuasa memerintah persekutuan dan baginda dikehendaki bertindak atas nasihat
Kabinet. Yang di-Pertuan Agong juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan
Tentera Persekutuan dan mempunyai kuasa untuk mengampun dan menangguhkan
hukuman orang yang telah disabitkan oleh mahkamah tentera dan bagi kesalahan-
kesalahan yang dilakukan di dalam wilayah persekutuan Kuala Lumpur.
Institusi beraja
yang wujud di Malaysia hari ini dilindungi oleh perlembagaan melalui Perkara
38(4) iaitu tiada pindaan boleh dibuat terhadap peruntukan berhubung dengan
Majlis Raja-Raja, susunan keutamaan dan hak-hak mereka untuk warisan sebagai
raja negeri masing- masing tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Seterusnya,
tiada undang- undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan,
kemuliaan atau kebesaran mereka boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis
Raja-Raja. Hal ini menunjukkan bahawa amat sukar memperoleh persetujuan seperti
itu dan terlindung menurut perlembagaan.
Selain
daripada melaksanakan kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan, Yang
di-Pertuan Agong juga menjadi lambang perpaduan masyarakat Malaysia yang
terdiri daripada pelbagai etnik. Etnik Melayu, Cina, India, bumiputra Sabah dan
Sarawak dan bangsa-bangsa lain menganggap baginda sebagai pemelihara
kepentingan dan harapan setiap etnik di Malaysia. Hal ini kerana di bawah
perlembagaan telah memperuntukkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab dan
amanah Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu
dan bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum lain. Majlis
Raja-Raja mempunyai kuasa dalam soal pindaan terhadap peruntukan berkaitan
dengan kewraganegaraan.
Amanah dan
tanggungjawab ini merupakan satu perkara yang amat sukar kerana isu-isu seperti
agama dan kedudukan istimewa orang Melayu/bumiputra serta kewarganegaraan
sering kali menjadi polemik dalam masyarakat yang berbilang etnik. Jika isu
tersebut tidak ditangani dengan baik, perkara ini dapat menggugat kestabilan
negara. Walaupun fungsi baginda sebagai lambang perpaduan dan kesinambungan ini
kelihatan pasif dan tiada kontroversial, namun jaminan yang akan membantu
menonjolkan sifat berkecuali Yang di-Pertuan Agong perlu ada bagi mengelakkan
baginda daripada dipandang sebagai alat pemerintah(Abdul Aziz 1999).
Institusi
beraja juga dikaitkan dengan persoalan agama kerana mereka ialah ketua agama di
negeri masing-masing. Mereka bertanggungjawab menjaga agama Islam serta
sebarang pindaan yang ingin dibuat terhadap agama Islam perlu mendapat perkenan
raja-raja terlebih dahulu. Rasional peranan Majlis Raja-Raja dalam soal ini
ialah perlembagaan hanya menekankan persoalan pentadbiran negara. Maka, hal
persoalan agama dibiarkan untuk dikendalikan oleh institusi beraja. Yang di-
Pertuan Agong juga merupakan lambang keadilan dan kesaksamaan kerana baginda
yang melantik semua hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi atas nasihat
Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Begitu juga perlu
dirundingi mengenai pelantikan juruaudit negara, pengerusi dan ahli-ahli
Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran.
Jawatan-jawatan ini penting dalam menjaga hak rakyat dengan sikap berkecuali
iaitu tidak memihak kepada individu mahupun kerajaan sendiri. Baginda juga
boleh dianggap sebagai tonggak kehormatan kerana baginda diberi kuasa untuk
mengurniakan penghormatan, pingat dan bintang kepada pihak berkenaan yang telah
memberikan khidmad cemerlang kepada negara tanpa mengira batasan etnik.
Yang
di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja adalah unsur tradisi yang amat penting di
Malaysia. Bagi etnik Melayu, mereka adalah harapan dan sebagai lambang
perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang etnik kerana mereka bukan dipilih
secara politik dan terkecuali daripada sebarang pengaruh politik. Keadaan ini
membolehkan institusi beraja mempunyai potensi untuk memainkan peranan tanpa
mengenakan syarat seperti yang ditetapkan oleh parti politik. Setiap keputusan
parti politik akan terikat dengan sentimen dan pertimbangan kepartian. Yang
di-Pertuan Agong ialah satu-satunya institusi perlembagaan yang bersifat Melayu
dan Islam serta amat penting kerana Perdana Menteri, Kabinet dan Parlimen tidak
semestinya dikuasai oleh etnik Melayu. Secara simboliknya, Yang di-Pertuan
Agong bertindak sebagai pemegang autoriti dan kuasa yang diserahkan oleh
negeri-negeri Melayu kepada pihak berkuasa pusat.
4.2 Agama
Islam
Islam dalam perlembagaan bukan sahaja hanya terkandung dalam Perkara 3, tetapi
juga harus dibaca bersama-sama dengan Perkara 8, 11,12, 121, 150 dan kedudukan
Yang di-Pertuan Agong dalam hal ehwal agama Islam. Walaupun perkara ini
menunjukkan bahawa Islam dalam perlembagaan mempunyai keistimewaan namun agama-agama
lain tetap diberi perlindungan. Islam dalam perlembagaan ialah satu isu yang
penting kerana isu ini berkait rapat dengan kepercayaan dan pegangan majoriti
penduduk Malaysia. Isu ini juga merupakan isu yang sensitif kerana etnik Melayu
merasakan bahawa agama tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan seharian
mereka. Walaupun soal kepercayaan dan keimanan ialah urusan seseorang, namun
dalam konteks Malaysia, perkara ini boleh memberi kesan kepada ketenteraman
awam khususnya yang melibatkan ketegangan antara kaum seperti dalam kes Natrah
pada tahun 1950 dan Nur Aisyah pada tahun 1998.
Hal ini
diakui oleh Syed Muhammad Naqiub al-Attas (1972) yang mengatakan Islam
mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam sejarah dan kebudayaan Melayu.
Keadaan ini menjelaskan kenapa Islam tidak termasuk dalam rangka perjanjian
antara Raja-raja Melayu dengan pihak British yang bermula dengan Perjanjian
Pangkor 1874 yang memberi kuasa kepada British dalam sistem pemerintahan di
Tanah Melayu ketika itu. Namun, ini memang tujuan British untuk mengecilkan
peranan Islam dalam sistem pentadbiran negara yang menyebabkan kedudukan Islam
itu dalam bidang tertentu sahaja iaitu tidak bersifat menyeluruh.
Menurut
Hashim (1983), beberapa perkara boleh dirumuskan berkenaan dengan Islam dalam
Perlembagaan Persekutuan seperti mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara
Islam, agama Islam berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, kebebasan
beragama dan undang-undang yang menghalang penyebaran mana-mana kepercayaan
dalam kalangan orang Islam. Kewujudan peruntukan Islam dalam perlembagaan telah
memberi keistimewaan kepada agama Islam.
Berdasarkan
perbincangan tersebut, jelas menunjukkan
bahawa terdapat beberapa keistimewaan Islam yang menonjol dalam perkara
berikut:
1. Perkara
160 memberi definisi Melayu sebagai seorang beragama Islam, lazim bercakap
bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu. Dalam hal ini, Melayu dan Islam
ialah unsur yang saling berkaitan dan tidak boleh dipisahkan untuk tujuan
undang-undang dan perlembagaan.
2. Yang
di-Pertuan Agong dilantik daripada kalangan raja di negeri-negeri Melayu dan di
dalam setiap perlembagaan negeri mensyaratkan seorang raja mestilah berbangsa
Melayu, beragama Islam dan keturunan raja.
3. Dalam
sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong, baginda mengangkat sumpah dengan
didahului oleh lafaz Wallahi, Wabillahi, Watallahi yang merupakan lafaz sumpah
yang dikehendaki dalam agama Islam. Sumpah ini dikaitkan dengan janji baginda
untuk memelihara tentang kesucian dan kemuliaan agama Islam.
4. Yang
di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Perkara 3 (3) ialah ketua agama Islam di
negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan juga Wilayah Persekutuan
yang tidak mempunyai raja.
5. Raja dan sultan di negeri-negeri yang beraja ialah ketua agama Islam bagi
negeri masing-masing. Dalam menjalankan tugas sebagai ketua agama Islam, mereka
mempunyai budi bicara dan tidak terikat dengan nasihat Majlis Mesyuarat Negeri
(EXCO).
6. Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi hak istimewa
orang Melayu seperti yang termaktub di dalam Perkara 153 Perlembagaan
Persekutuan. Oleh sebab Melayu dan Islam ialah dua entiti yang tidak boleh
dipisahkan, maka tugas menjaga hak- hak istimewa orang Melayu juga termasuk
menjaga dan melindungi agama Islam.
7. Walaupun dalam keadaan darurat, kedudukan agama Islam tidak boleh dipinda
dan perkara ini kekal terjamin.
8. Sah bagi kerajaan, sama ada kerajaan pusat atau negeri memperuntukkan
sejumlah wang bagi pembangunan Islam di Malaysia.
9.
Peruntukan Islam terjamin dalam keadaan mana sekalipun kerana untuk memindanya
memerlukan sokongan majoriti lebih 2/3 parlimen dan perkenan Yang di-Pertuan
Agong.
10. Walaupun
tidak dibenarkan perbezaan dalam apa-apa juga keadaan dalam mana-mana
undang-undang dan pelantikan pihak berkuasa awam, namun terdapat pengecualian
terhadap pelantikan bagi sesuatu institusi agama Islam.
11.
Undang-undang negeri boleh menyekat apa-apa penyebaran dalam kalangan orang
Islam mengenai agama selain daripada Islam.
12. Bidang
kuasa Mahkamah Syariah terpisah daripada Mahkamah Sivil
yang menunjukkan pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah.
4.3 Bahasa
Melayu
Bahasa kebangsaan disentuh dalam perlembagaan melalui Perkara 152, iaitu
memperuntukkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Namun, perkara ini juga
melindungi bahasa-bahasa lain dan seterusnya memperuntukkan bahawa tiada
sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan atau mengajar atau
belajar bahasa lain kecuali bagi maksud rasmi. Bahasa kebangsaan diwujudkan
sebagai medium komunikasi atau bahasa pertuturan umum dan bahasa rasmi negara
bagi menyatupadukan rakyat yang terdiri daripada pelbagai etnik. Hasil
permuafakatan perlembagaan, bahasa Melayu diterima sebagai bahasakebangsaan dalam
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan
Perkara 150(6A) dengan terang menyatakan bahawa hal-hal yang berhubung dengan
bahasa Melayu, walaupun dalam keadaan darurat adalah dilindungi oleh
perlembagaan. Perkara 150(6A) ini penting kerana secara umumnya perisytiharan
darurat mempunyai kesan menggantung sebahagian besar peruntukan perlembagaan.
Dengan kata lain, perkara berkenaan menyebut pengecualian terhadap bahasa
Melayu kepada kuasa darurat yang luas itu (Abdul Aziz 2005).
Kedudukan bahasa Melayu semakin jelas dalam perlembagaan melalui Perkara 10 (4)
yang menjadikan bahasa Melayu adalah antara perkara sensitif yang dilarang
daripada dibahaskan di tempat terbuka atas tujuan keselamatan dan ketenteraman
awam. Kedudukan ini juga begitu kukuh kerana tidak dapat dipinda oleh Parlimen
jika tidak mendapat sokongan 2/3 dewan dan perkenan Majlis Raja-Raja melalui
Perkara 159(5).
Begitu juga
dengan kedudukan sebagai bahasa rasmi bagi tujuan kerajaan baik kerajaan
persekutuan mahupun kerajaan negeri dan termasuk apa-apa tujuan untuk sesuatu
kuasa awam, hendaklah menggunakan bahasa Melayu kecuali atas beberapa perkara
yang dibenarkan oleh undang-undang seperti yang termaktub dalam Seksyen 4, Akta
Bahasa Kebangsaan. Antara pengecualian tersebut adalah bagi tujuan hubungan
diplomatik dan latihan yang dijalankan oleh pakar- pakar asing.
Seterusnya,
perkara ini ditambah lagi dengan peruntukan di bawah Perkara 160(B) yang
menjelaskan bahawa jika perlembagaan diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan
dan jika terdapat percanggahan teks terjemahan dengan teks dalam bahasa
Inggeris, maka teks kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris.
Persefahaman
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga tidak menjejaskan
penggunaan bahasa ibunda etnik lain malah dijamin oleh Perlembagaan
Persekutuan. Sejarah mencatatkan, sebelum Perang Dunia Kedua, bahasa Melayu
digunakan secara meluas bagi tujuan rasmi seperti mesyuarat, surat-menyurat,
perundangan dan kehakiman di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Jabatan
Polis dan sebagainya bagi memudahkan urusan pentadbiran kerana kakitangannya
terdiri daripada pelbagai kaum (Mohd Salleh 1984). Kedudukannya diperkuatkan
lagi oleh hakikat bahawa bahasa Melayu diterima sebagai bahasa rasmi apabila
Johor menerima Penasihat Inggeris pada 1914.Pegawai Eropah yang memegang lebih
95 peratus jawatan Kumpulan I perlu mempelajari bahasa Melayu, mengambil ujian
bahasa Melayu dan dikehendaki lulus, barulah boleh ditempatkan di Persekutuan
Tanah Melayu pada ketika itu (Mohamed Suffian 1987). Keadaan ini menunjukkan
bahasa Melayu telah diterima sebagai bahasa perantaraan rasmi walaupun pada
zaman penjajahan British. Perkara ini telah diiktiraf oleh Tan Siew Sin dalam
Majlis Perundangan Persekutuan,10 Julai 1957 yang mengatakan bahawa pemimpin
Melayu pada asasnya adalah adil dan berpandangan luas bagi memastikan bahasa
Melayu dijadikan alat perpaduan.
Tujuan utama di sebalik menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
adalah untuk memenuhi keperluan bagi menyatupadukan pelbagai etnik melalui
penggunaan satu bahasa yang sama, iaitu bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa
pengantara negara ini sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Hal ini
disebabkan semasa perlembagaan digubal, para pemimpin terdahulu telah
memutuskan bahawa sebuah negeri yang merdeka tidak dapat terus menggunakan
bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi jika hendak menyatupadukan penduduknya
yang bersifat pelbagai etnik.
4.4 Kedudukan Istimewa Orang Melayu
Peruntukan orang Melayu dalam perlembagaan bukan sahaja setakatdalam Perkara
153, tetapi juga terangkum dalam Perkara 8(5e), Perkara 89 dan 90 dan Jadual 13
seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika merujuk takrif
Melayu, maknanya sangat luas dan jika diambil dalam pengertian sejarah dan
sosiobudaya, Melayu itu meliputi mereka yang mendiami kepulauan Melayu.
Walaupun terdapat pelbagai suku bangsa, bahasa dan loghat, namun ahli-ahli
bahasa dan budaya menganggap mereka sebagai satu kumpulan yang sama, iaitu
keturunan Melayu (Syed Husin 2008).Jika merujuk kepada Perlembagaan
Persekutuan, orang Melayu ditakrifkan dalam Perkara 160(2) sebagai seseorang
yang menganut agama Islam, lazimnya bercakap dalam bahasa Melayu, menurut adat
istiadat Melayu, dan:
a. Lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau di Singapura atau ibu atau
bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura atau pada Hari Merdeka itu
ia adalah berdomisil di Persekutuan atau di Singapura atau
b. Ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.
Terdapat beberapa perkara yang boleh dibincangkan dalam peruntukan tersebut:
i. Untuk
menjadi seorang Melayu bagi maksud perlembagaan tidaklah semestinya seseorang
itu berketurunan Melayu. Umpamanya, seorang India boleh dianggap sebagai Melayu
sekiranya ia menganut agama Islam, menjadi kelazimannya bertutur dalam bahasa
Melayu dan mengamalkan adat Melayu. Sebaliknya, walaupun dia seorang Melayu
jati daripada keturunan Melayu sekalipun, bagi maksud perlembagaan ia bukan
Melayu jika bukan beragama Islam (Mohamed Suffian 1987).
ii. Untuk
menjadi seorang Melayu bagi maksud perlembagaan, seseorang mestilah mempunyai
sedikit sebanyak perhubungan dengan Persekutuan Tanah Melayu atau Singapura.
Oleh itu, seorang Indonesia yang menganut Islam, kebiasaannya bertutur dalam
bahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu, bukanlah seorang Melayu bagi maksud
perlembagaan jika dia dilahirkan sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau
Singapura atau dia keturunan seseorang yang tersebut.
Peruntukan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan disentuh dalam perkara
berikut:
Pertama, Perkara 153. Perkara ini menjelaskan bahawa adalah menjadi
tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk menjaminkedudukan istimewa orang
Melayu dan juga melindungi hak kaum lain.Yang di-Pertuan Agong atas nasihat
kerajaan boleh memberi peruntukan kepada orang Melayu beberapa bahagian yang
difikirkan patut dalam perkara-perkara berikut:
i. Menentukan suatu kadar bilangan jawatan dalam perkhidmatan awam.
ii. Menentukan kadar perizaban permit dan lesen bagi menjalankan sebarang
perniagaan atau pekerjaan.
iii. Menentukan kadar perizaban dalam biasiswa, bantuan dan keistimewaan
pelajaran dan latihan atau kemudahan khas yang diberikan atau diadakan oleh
kerajaan. Kedua, Perkara 89, yang menyentuh tentang tanah rizab Melayu seperti
berikut:
i. Tanah Rizab Melayu terus menjadi tanah rizab Melayu selepas merdeka.
ii. Mana-mana tanah yang bukan tanah rizab Melayu boleh diisytiharkan sebagai
tanah rizab Melayu mengikut undang-undang.
iii. Kerajaan negeri boleh mengambil tanah untuk menempatkan orang Melayu dan
bukan Melayu
.
iv. Jika tanah tersebut telah dimiliki oleh orang bukan Melayu, maka tanah
rizab Melayu tidak boleh diisytiharkan.
Ketiga, Perkara 90 pula menyentuh mengenai pengecualian undang- undang yang ada
berkenaan tanah adat di Negeri Sembilan dan Melaka serta undang-undang yang ada
di Terengganu mengenai tanah pegangan orang Melayu.
Keempat, Perkara 8 (5)(f ) pula menjelaskan bahawa kemasukan untuk perkhidmatan
Rejimen Askar Melayu di-Raja hanya diperuntukkan kepada orang Melayu. Namun,
kemasukan ke rejimen tentera yang lain adalah terbuka kepada semua etnik di
Malaysia dan tiada sekatan
dikenakan.
Kelima, Jadual 13 dalam perlembagaan pula menjelaskan bahawa terdapat empat
prinsip yang perlu dipatuhi sebelum penentuan atau penyemakan semula sempadan
pilihan raya dibuat. Keempat-empat prinsip tersebut ialah:
i. Sebuah kawasan hendaklah jangan melintasi sempadan negeri dan
mempertimbangkan kesukaran yang akan timbul jika kawasan dewan undangan negeri
meliputi Dewan Rakyat.
ii. Perlunya dipertimbangkan segala kemudahan yang ada dalam kawasan berkenaan
bagi pendaftaran pengundi.
iii. Ditetapkan juga bahawa jumlah pengundi bagi tiap-tiap kawasan pilihan raya
hendaklah sama. Namun, perlembagaan juga menetapkan bahawa kawasan luar bandar
hanya separuh daripada jumlah pengundi bagi sesebuah kawasan pilihan raya di
bandar diperlukan.
iv. Perlu juga dipertimbangkan mengenai segala kesukaran apabila suatu kawasan
ditukar dan mustahaknya dikekalkan perhubungan seseorang dengan kawasannya. isu-isu
islam dan Orang Melayu dalam Perlembagaan
5.0 Isu dan Persoalan
5.1
Permasalahan Kebebasan Beragama
Permasalahan kebebasan beragama di Malaysia banyak disentuh khususnya daripada
perspektif hak asasi dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Isu yang selalu
dibangkitkan ialah setakat mana kebebasan seorang Islam mengamalkan agamanya,
isu murtad dan penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam. Selain
Perkara 11, kebebasan beragama juga boleh dirujuk dalam Perkara 3(1), Perkara
10, Perkara 8 dan Perkara 12. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kebebasan
beragama diberikan kepada penganut agama Islam dan bukan Islam. Bagaimanapun,
kebebasan dalam penyebaran beragama adalah tidak mutlak.
Sebagai contoh, Perkara 11(4) memberi kuasa kepada Parlimen atau Dewan Undangan
Negeri meluluskan undang-undang pengawalan agama bukan Islam dalam kalangan
orang Islam. Maksudnya, orang bukan Islam tidak boleh menyebarkan agama mereka
dalam kalangan orang Islam dan orang Islam dibenarkan berbuat demikian. Perkara
ini seperti berlaku ketidakadilan dalam kebebasan beragama. Namun menurut
Harding (2002), peruntukan ini dimasukkan demi memelihara kestabilan
masyarakat.
Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa kebebasan ini tertakluk kepada
undang-undang yang diluluskan bagi mengawal atau menyekat pengembangan agama
yang lain daripada Islam dalam kalangan umat Islam. Dengan kata lain, agama
lain boleh diamalkan secara aman jika tidak mengganggu ketenteraman awam dan
tidak menyakitkan hati penganut agama lain. Selain itu, kebebasan beragama ini
tertakluk kepada undang-undang awam seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960,
Akta Pertubuhan 1966 dan Akta Polis 1967. Kebebasan beragama juga tidak boleh
diertikan bahawa seseorang itu bebas mendirikan kuil atau tokong di mana-mana
sahaja yang ia suka kerana kebebasan sedemikian akan membawa kepada kekacauan
dan huru-hara.
Selain menyebut soal kebebasan beragama, dalam konteks penganutan dan
pengamalannya oleh seseorang, perlembagaan juga dengan jelas melindungi
seseorang itu daripada dipaksa membayar sebarang cukai sekiranya cukai tersebut
digunakan untuk maksud- maksud agama yang lain daripada agama anutannya.
Perlembagaan juga melindungi kumpulan-kumpulan agama yang dengan jelas menyebut
bahawa mereka berhak menubuhkan atau menguruskan yayasan bagi tujuan agama atau
kebajikan mereka serta hak memperoleh atau memegang harta. Dengan ini boleh
dikatakan bahawa hak kebebasan agama ini mencakupi hak perseorangan dan juga
hak kumpulan. Ternyata hak kebebasan beragama bersifat tidak mutlak. Terdapat
sekatan dalam perlembagaan dan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen.
Justeru, adalah satu tanggapan tidak tepat yang mengatakan bahawa kebebasan
beragama yang diperuntukkan dalam perlembagaan bersifat mutlak kerana selagi
sekatan tersebut tidak bercanggah dengan perlembagaan, maka ia dianggap sah.
5.2 Kesamarataan
Perlembagaan memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama di sisi
undang-undang dan juga berhak mendapat perlindungan yang sama di sisi
undang-undang. Tidak dibenarkan sebarang bentuk diskriminasi yang memihak
kepada mana-mana orang atas alasan ia merupakan salah seorang rakyat raja
mana-mana negeri, kecuali yang dibenarkan oleh perlembagaan.Diskriminasi
terhadap warganegara tidak boleh diamalkan semata- mata atas alasan agama, ras,
keturunan atau tempat lahir dalam mana- mana undang-undang atau dalam
pelantikan bagi apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah pihak berkuasa awam
atau dalam mana-mana pentadbiran undang-undang yang berhubung dengan perolehan,
pemegangan atau pelupusan harta atau berhubung dengan penubuhan atau perjalanan
apa-apa perdagangan, perniagaan, kerjaya atau pekerjaan. Pihak berkuasa awam
tidak boleh mengamalkan diskriminasi terhadap sesiapa pun atas alasan dia
bermastautin atau menjalankan perniagaan di mana-mana negeri di persekutuan
atau di luar bidang kuasa pihak berkuasa itu. Hal ini yang dikatakan sebagai
konsep sama rata.Perubahan politik dan ekonomi telah menyedarkan kerajaan
bahawa untuk mewujudkan masyarakat yang adil, perisytiharan keadilan dan hak
sama rata di sisi undang-undang sahaja tidak mencukupi. Namun jaminan hak asasi
semata-mata tanpa memikirkan aspek hidup yang lain tidak juga bermakna. Dalam
sesuatu perubahan sosial dan ekonomi, tidak dapat dinafikan terdapat sebahagian
rakyat yang ketinggalan dalam arus kemajuan negara. Persamaan secara mutlak
dalam masyarakat pelbagai etnik dengan golongan yang berlainan dengan peringkat
pembangunan yang berlainan akan hanya mengakibatkan huru-hara.
Pada tahun
1865, pindaan ke-13 Perlembagaan Amerika Syarikat telah dibuat bagi
menghapuskan perhambaan. Implikasinya, keistimewaan yang didapati daripada
orang kulit hitam yang sebelum pindaan dibuat ialah hamba abdi, hanyalah
kebebasan diri dan seterusnya hak mengundi. Tidak terdapat rancangan
perlembagaan yang positif untuk meninggikan taraf hidup orang kulit hitam di
Amerika Syarikat. Melalui sistem laissez faire ia telah mendedahkan orang kulit
hitam dalam keadaan yang jauh ketinggalan daripada etnik lain.
Begitu juga
satu sistem persamaan dan peluang yang sama yang tidak ada batas akan
mengakibatkan penghapusan masyarakat Melayu sedikit demi sedikit. Menurut
Hashim (1983), satu masyarakat yang mempunyai sistem feudal agrarian tidak
boleh diubah dalam sekelip mata kepada satu sistem moden. Tanpa perlindungan,
golongan Melayu ketinggalan dari segi ekonomi berbanding dengan golongan lain
yang lebih aktif di negeri ini. Hak sama rata tidak lagi menjadi hak mutlak.
Kehadiran doktrin inimenyebabkan hak asasi ini terpaksa dilonggarkan dan
diberikan hak bersyarat. Perkara ini adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan
di negara yang mempunyai masyarakat pelbagai etnik dan kedudukan sosial yang
tidak seimbang.
5.3
Diskriminasi Perlindungan
Bagi sesebuah negara yang bersifat pelbagai etnik adalah sesuatu yang biasa
apabila perlembagaan negara tersebut memperuntukkan konsep diskriminasi
perlindungan sebagai salah satu peruntukan yang penting dan diiktiraf. Melalui
diskriminasi perlindungan ini, undang-undang memberi perlindungan dan
keistimewaan kepada golongan atau etnik di dalam sesebuah negara dan pada masa
yang sama tidak menafikan peluang terhadap kumpulan atau etnik lain. Peruntukan
ini disediakan untuk membantu sesuatu etnik di dalam beberapa aspek kehidupan
seperti perkhidmatan awam, ekonomi dan pendidikan. Menerusinya, etnik yang
ketinggalan dalam arus pembangunan negara dapat dibantu dan ditingkatkan taraf
hidup mereka agar dapat menyaingi etnik lain yang lebih terkehadapan.
Negara India menjadi contoh yang jelas iaitu diskriminasi perlindungan
diamalkan kerana India mempunyai penduduk yang bersifat pelbagai etnik sehingga
menimbulkan masalah. Sebilangan besar mereka adalah mundur terutamanya golongan
minoriti. Justeru, Perlembagaan India memperuntukkan perlindungan kepada
golongan minoriti ini.
Di Malaysia, konsep ini berlaku dalam beberapa perkara di bawah peruntukan
perlembagaan seperti dalam peruntukan Perkara 153 yang memberi perlindungan
kepada etnik Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak. Perkara 153 merujuk
kepada kedaulatan Raja-raja Melayu tidak pernah dipertikaikan seperti yang
dibuktikan dalam beberapa perjanjian antara Raja-raja negeri dengan British
sebelum wujudnya perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.
Perjanjian-perjanjian itu menunjukkan satu hasrat secara umum agar orang Melayu
dibantu. Dalam perdebatan Dewan Perundangan, mesyuarat ke-13 dan ke-14 sesi
kedua Dewan Perundangan Kedua Persekutuan Tanah Melayu 1956 telah dijelaskan
oleh Menteri Kewangan bahawa orang Melayu perlu dibantu
disebabkan ketinggalan dari sudut ekonomi.
Secara ringkasnya, diskriminasi perlindungan itu dibuat dengan tujuan berikut:
i. Membetulkan semula ketidakseimbangan politik di sesebuah negara yang
rakyatnya bersifat pelbagai dan baru mencapai kemerdekaan. Keutamaan memasuki
perkhidmatan awam diberikan kepada orang Melayu dengan tujuan mereka boleh
menguasai keadaan politik negara kerana pegawai kerajaan memainkan peranan
penting dalam melaksanakan polisi dan dasar pemerintah. Begitu juga dengan perkhidmatan
tentera dan polis yang dikuasai oleh majoriti orang Melayu untuk tujuan yang
sama.
ii. Diskriminasi perlindungan diberi kepada golongan minoriti supaya
kepentingan mereka dapat dipertahankan daripada ditenggelami golongan majoriti.
Sebagai contoh, dalam Perlembagaan India, hak golongan minoriti seperti bahasa,
kebudayaan dan kepercayaan dijamin dan dipertahankan.
iii. Perlembagaan memberi keutamaan kepada kumpulan yang telah merasai dan
mengecapi keistimewaan itu sebelumnya. Tujuannya adalah supaya sebarang
perubahan secara radikal tidak berlaku apabila perlembagaan diperkenalkan.
Sesuatu keistimewaan yang telah dikecapi sekian lama sekiranya ditarik balik
sudah tentu menyemarakkan api kemarahan kumpulan itu. Keistimewaan orang Melayu
sebenarnya sudah wujud pada zaman penjajah hasil perjanjian antara penjajah
British dengan Raja-raja Melayu. Begitu juga di India, kumpulan yang telah
mendapat beberapa keistimewaan sebelum merdeka juga dilanjutkan keistimewaan
itu apabila Perlembagaan India diperkenalkan.
iv. Perlembagaan memberi kuasa kepada kerajaan untuk memperbaiki taraf
kehidupan dari segi ekonomi, sosial dan kebudayaan masyarakat mundur. Tanpa
diskriminasi perlindungan ini, tidak mungkin masyarakat mundur itu dapat bangun
dan bersaing dengan masyarakat maju. Perlembagaan India dan Malaysia mempunyai
peruntukan yang nyata dalam hal ini.
.
v. Diskriminasi perlindungan juga berlaku disebabkan oleh kompromi antara etnik
atau kumpulan tertentu semasa perlembagaan digubal. Sesuatu yang diberi kepada
kumpulan lain bererti kumpulan memberi itu berhak kepada beberapa keistimewaan
yang lain. Misalnya, dalam Perlembagaan Persekutuan, taraf kewarganegaraan yang
diberi kepada kaum pendatang harus diganti dengan pemberian beberapa
keistimewaan kepada kaum bumiputera atau dikenali sebagai kontrak sosial (Kamal
Halili 1990).
5.4 Persoalan Perkara 153
Persoalan Perkara 153 difokuskan kepada dua, iaitu dari segi pencapaian
pendidikan dan ekonomi. Manakala persoalan tentang pencapaian dalam
perkhidmatan awam tidak dibincangkan kerana dengan adanya penggunaan sistem
kuota, bilangan etnik Melayu yang menjawat jawatan tinggi dalam perkhidmatan
awam adalah semakin ramai berbanding sebelum tahun 1970. Sebagai contoh,
statistik perkhidmatan awam di Pulau Pinang mengikut etnik sehingga 30
September 2008 ialah 81.95 peratus Melayu, 12.92 peratus Cina dan 5.05 peratus
India. Manakala pada 2005, bilangan yang ditempatkan dalam perkhidmatan awam
mengikut etnik ialah Melayu 77.4 peratus, Cina 9.37 peratus dan India 5.14 peratus
(Utusan Malaysia 25 November 2008)
Justeru,
persoalan yang sering dibangkitkan ialah adakah peruntukan Perkara 153
merupakan cara paling berkesan dalam mengatasi kemiskinan dan kemunduran etnik
Melayu khususnya dari segi pencapaian ekonomi dan pendidikan kerana kedudukan
etnik Melayu telah termaktub dalam perlembagaan dari segi perkhidmatan awam,
pendidikan dan ekonomi telah dilaksanakan sejak merdeka? Namun, adakah
kedudukan etnik Melayu telah berubah dari segi mengeluarkan etnik Melayu
daripada cengkaman kemiskinan dan dapat menyeimbangkan kedudukan mereka dengan
etnik lain di Malaysia melalui penyusunan semula masyarakat?
Berdasarkan
statistik kerajaan, Perkara 153 ini telah membantu ke arah mengeluarkan etnik
Melayu daripada kemiskinan dan meningkatkan pencapaian mereka dari sudut
ekonomi dan pendidikan (lee 2006). Walau bagaimanapun, penyertaan dalam bidang
profesional dan teknikal masih lagi ketinggalan. Manakala dalam bidang lain,
statistik menunjukkan bilangan hampir seimbang antara Melayu dan bukan Melayu.
Secara keseluruhannya, etnik Melayu hanya meliputi 38.8 peratus sahaja
berbanding bukan Melayu iaitu 61.2 peratus pada tahun2005. Pelaksanaan Perkara
153 wajar diteruskan dalam bidang pendidikan bagi mengatasi ketakseimbangan
antara IPTA dengan IPTS serta pelajar di luar negara melalui penggunaan sistem
kuota dan biasiswa. Keadaan ini penting untuk menyeimbangkan bilangan pelajar
bukan Melayu di IPT adalah lebih ramai berbanding pelajar Melayu.Walaupun kadar
kemiskinan etnik Melayu bertambah baik, tetapi mereka masih ketinggalan
daripada etnik bukan Melayu. Nisbah pendapatan antara luar bandar dengan bandar
ialah 1:2.11 pada tahun2004. Jurang pendapatan antara etnik mengikut nisbah
juga semakin baik. Nisbah pendapatan bumiputera berbanding etnik Cina ialah
1:1.64 dan bumiputera dan India ialah 1:1.27 pada tahun 2004. Pendapatan isi
rumah pada tahun 2004 mengikut etnik ialah Melayu RM2,552, Cina RM4,127 dan
India RM3,215. Kadar kemiskinan mengikut kawasan luar bandar dengan bandar juga
bertambah baik, iaitu 11.9 peratus dan 2.5 peratus pada tahun 2004. Kadar
kemiskinan mengikut etnik pula ialah 8.3 peratus bagi Melayu, 0.6 peratus bagi
Cina dan 2.9 peratus bagi India pada tahun 2004 (Rancangan Malaysia Kesembilan
2006). Keadaan ini menunjukkan pendapatan etnik Melayu semakin baik tetapi
masih ketinggalan berbanding etnik lain. Jika dibandingkan dengan kemiskinan
dalam kalangan etnik Cina, kadar kemiskinan amat rendah dan kemajuan seterusnya
akan dapat mengeluarkan mereka daripada kemiskinan. Keadaan yang sama juga
untuk etnik India yang kadar kemiskinan mutlaknya tidak jauh berbeza dengan
etnik Cina (Faaland, Parkinson dan Rais 2005). Begitu juga dengan kadar
kemiskinan mengikut negeri- negeri yang majoriti Melayu masih tinggi berbanding
negeri lain, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Statistik
tersebut menunjukkan bahawa dalam bidang ekonomi, pencapaian etnik Melayu belum
menepati sasaran DEB. Perkara 153 khususnya dalam bidang perniagaan tidak
banyak membantu mengatasi masalah kemiskinan etnik Melayu dan mencapai matlamat
DEB untuk memastikan penguasaan 30 peratus pengagihan ekuiti negara. Hal ini
disebabkan sebanyak 75 peratus etnik Melayu bergantung hidup kepada pertanian
dan perikanan, sedangkan sumbangan pendapatan daripada kedua-dua sektor
tersebut adalah kecil.
Walaupun
etnik Melayu diberi perlindungan dan hak istimewa dalam bidang ekonomi, keadaan
etnik Melayu tidak banyak berubah. Meskipun kini sudah ramai lahir usahawan
Melayu yang menjalankan pelbagai perniagaan besar malah sudah pun lahir jutawan
Melayu, tetapi kejayaan segelintir etnik Melayu dalam perniagaan tidak boleh
dianggap sebagai mewakili kejayaan etnik Melayu keseluruhannya dalam bidang
ekonomi. Dalam pemilikan modal saham mengikut sektor juga, etnik Melayu masih
lagi ketinggalan berbanding bukan Melayu. Perkara ini dijelaskan dalam Jadual
4.2, iaitu tiada satu sektor yang menunjukkan etnik Melayu melebihi etnik bukan
Melayu. Cuma dalam sektor pembinaan, matlamat 30 peratus itu telah tercapai.
Walaupun perkara hak istimewa etnik Melayu dianggap sebagai satu isu sensitif,
tidak bermakna perkara ini menghalang perbincangan tentang pelaksanaannya sama
ada berjaya atau tidak. Sekiranya matlamatnya sudah dicapai, adakah etnik
Melayu masih lagi memerlukan hak istimewa tersebut? Dalam hal ini, etnik Melayu
masih memerlukan Perkara 153 ini khususnya dalam bidang ekonomi disebabkan
matlamat untuk meningkatkan taraf ekonomi etnik Melayu masih belum tercapai.
Perkara 153 perlu diteruskan ke arah mencapai matlamat yang dikehendaki
khususnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Namun, pada masa yang sama
pelbagai kemudahan dan keistimewaan turut diberikan kepada etnik bukan Melayu
dalam aspek pendidikan. Sebagai contoh, apabila negara mencapai kemerdekaan,
kerajaan tidak terus menghapuskan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan
Tamil, sebaliknya mempertahankan kewujudan sekolah tersebut walaupun Penyata
Razak 1956 mahu mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan secara beransur-ansur.
Begitu juga
dengan kewujudan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Matrikulasi yang
dikhususkan kepada etnik Melayu, namun untuk merapatkan lagi hubungan etnik dan
perpaduan dalam kalangan pelajar, keistimewaan ini turut diberikan kepada bukan
Melayu apabila kerajaan membenarkan mereka memasuki MRSM dan Matrikulasi dengan
kuota 10 peratus. Kemasukan pelajar ke IPTA melalui sistem kuota juga telah
ditukar kepada sistem meritokrasi iaitu pemilihan pelajar berdasarkan merit
akademik tanpa mengira etnik. Walaupun kedudukan istimewa mengenai pendidikan
termaktub dalam perlembagaan, namun pelbagai sikap akomodatif antara Melayu
dengan bukan Melayu telah diwujudkan dalam usaha ke arah memantapkan hubungan
etnik.
Dari segi ekonomi pula, walaupun melalui DEB ditetapkan kadar pemilikan ekuiti
negara bagi etnik Melayu sebanyak 30 peratus, tetapi sasaran itu masih lagi
belum tercapai. Sebaliknya, pemilikan ekuiti negara bagi etnik Melayu hanyalah
sebanyak 19.2 peratus pada tahun 1990 daripada 2.4 peratus pada tahun 1970.
Namun, pemilikan ekuiti negara bagi etnik bukan Melayu telah meningkat daripada
28.3 peratus pada tahun 1970 kepada 34.4 peratus pada tahun 1990 (Rancangan
Malaysia Ketujuh 1996).
5.5
Perjanjian 20 Perkara bagi Sabah dan Perjanjian 18 Perkara bagi Sarawak
Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 membawa satu lagi dimensi kepada hubungan
etnik di Malaysia. Dengan kemasukan Sabah dan Sarawak, kedudukan etnik
bumiputera di kedua-dua negeri tersebut diberikan status yang sama sebagaimana
etnik Melayu, iaitu mereka turut dimasukkan ke dalam Perkara 153. Namun
peruntukan tersebut tidak memberi hak untuk menindas etnik lain kerana hak
istimewa etnik Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak perlu dilindungi dengan
cara tidak menafikan kedudukansah etnik-etnik lain.
Perjanjian Malaysia yang dibuat pada tahun 1963 merupakan satu persetujuan yang
telah disepakati antara pemimpin Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak yang dikenali
sebagai Perjanjian 20 Perkara bagi Sabah dan Perjanjian 18 Perkara bagi
Sarawak. Antara tuntutannya adalah tentang imigresen, bahasa, kewangan dan hak
istimewa bumiputera Sabah dan Sarawak seperti yang terkandung dalam Senarai II
dan Senarai III. Kedudukan Sabah dan Sarawak dalam perlembagaan dilindungi oleh
kuasa Yang di-Pertua Negeri berkenaan dan pindaan hanya boleh dibuat sekiranya kedua-duanya
memberikan persetujuan. Parlimen tidak boleh meminda kedudukan istimewa
bumiputera Sabah dan Sarawak iaitu menyamai peranan dan kuasa Majlis Raja-Raja
berhubung dengan kedudukan etnik Melayu di Semenanjung. Perkara 165 dalam
Perlembagaan Malaysia memasukkan Perjanjian 20
5.6 Perkara
bagi Sabah dan Perjanjian 18
Perkara bagi Sarawak. Antara perkara tersebut adalah:
i. Agama - Sabah menuntut supaya negeri itu tidak memperakukan suatu agama
sebagai agama rasmi negeri.
ii. Bahasa - Sabah bersetuju bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi/kebangsaan,
tetapi memohon supaya bahasa Inggeris boleh terus digunakan tanpa had masa.
iii. Perlembagaan - Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu menjadi asas
Perlembagaan Malaysia, tetapi penggubalannya patut melibatkan semua negeri.
iv. Imigresen - Bersetuju bahawa kuasa imigresen ialah kuasa pusat, tetapi soalan
tentang keluar atau masuk ke Sabah harus dikawal oleh Sabah sendiri.
v. Kewangan - Sabah wajar mengawal kewangannya sendiri.
vi. Bumiputera Sabah - Mendapat hak istimewa seperti orang Melayu (Persekutuan
Tanah Melayu), tetapi formula berkenaan harus disesuaikan dengan keadaan (sifat
demografi) Sabah.
6.0
Kesimpulan
Perlembagaan Persekutuan telah digubal dengan mengambil kira kepentingan setiap
etnik di Malaysia. Walaupun perkara yang termaktub dalam perlembagaan
seolah-olah memberi kelebihan kepada sesuatu etnik, namun terdapat perimbangan
bagi setiap perkara tersebut. Permuafakatan sosial yang dipersetujui sewaktu
menggubal perlembagaan adalah persetujuan yang telah diterima oleh semua etnik
pada ketika itu. Pengingkaran kepada permuafakatan sosial akan menimbulkan
perasaan tidak puas hati dalam kalangan etnik. Perkara ini sepertimana yang
pernah dinyatakan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215, iaitu Islam dan orang
Melayu merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Justeru, setiap
lapisan masyarakat khususnya generasi muda hendaklah sentiasa bersikap terbuka
dan toleran dalam sesuatu isu khususnya yang melibatkan Islam dan etnik Melayu
dalam perlembagaan.