STATEGI DALAM MEMUPUK INTEGRASI DI MALAYSIA
1.0 Pengenalan
Proses untuk mencapai sebuah masyarakat berintegrasi [R1] bukan sesuatu yang mudah dan dapat dicapai dalam waktu yang
singkat. Menurut Ting (1987), integrasi ialah suatu proses yang sangat kompleks.
Tahap-tahap hubungan etnik boleh dilihat dari segi darjah kedekatan bermula
dengan hubungan terpisah, iaitu segregasi sehingga hubungan berbentuk sebati
iaitu amalgamasi. Hubungan yang lebih rapat antara wilayah dapat mewujudkan
integrasi dalam bidang politik dan nilai. Hubungan ini seterusnya mampu
mengurangkan konflik dan mengutamakan persefahaman, serta mewujudkan semangat
perpaduan antara pelbagai etnik.
2.0 Faktor Pencetus Perpecahan
Terdapat beberapa faktor yang boleh mencetuskan perpecahan dalam
masyarakat antaranya, prasangka, perkauman, diskriminasi, stereotaip, rasisme
dan etnosentrisme. Perpecahan juga boleh berlaku apabila wujudnya konflik
antara kumpulan masyarakat, kedudukan lokasi kelas, taraf pendidikan, kemahiran
kerja, pendapatan dan budaya hidup yang sesetengahnya membatasi peluang
mobiliti sosial mereka untuk keluar daripada golongan miskin (Mansor 2006).
Konflik juga berlaku disebabkan oleh kerumitan menanggung kos hidup yang terus
meningkat, perkhidmatan awam yang kurang memuaskan, pengangguran, kemiskinan,
keterpinggiran dan ketidaksamarataan dalam masyarakat, gejala sosial yang
berleluasa dan wujudnya banyak kumpulan samseng. Justeru, isu-isu berkenaan
secara tidak langsung telah memberi kesan kepada masalah perpaduan dalam kalangan
rakyat.
Seterusnya konflik bukan sahaja disebabkan perbezaan budaya dan
agama, tetapi turut berpunca daripada
faktor kemiskinan dan keterpinggiran. Contohnya, rusuhan kaum di Kampung Medan,
Selangor dikaitkan dengan isu kemiskinan dan pembangunan (Mansor 2006).
Jelaslah bahawa isu kemiskinan dan pembangunan perlu ditangani secara serius
untuk mengelakkan ketegangan etnik. Persoalan asas adalah bagaimana perbezaan
etnik itu diatasi, serta bagaimana kepentingan politik dan ekonomi disesuaikan
dengan kehendak pelbagai etnik sehingga keharmonian dapat dicapai. Perkara ini
akan menjadi penanda aras hubungan etnik di sesebuah negara (Chandra 2008).
Malaysia sering menjadi contoh kepada negara lain dari segi hubungan etnik
kerana berjaya mewujudkan keharmonian dalam kalangan etnik yang pelbagai.
Sebahagian besar kejayaan ini merupakan hasil usaha kerajaan yang bersifat
top-down dan disokong oleh pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat
sendiri yang bersifat bottom-up. Proses ini bertujuan memupuk perpaduan dan
hubungan etnik yang mantap dalam kalangan rakyat Malaysia. Usaha ini dipelopori
oleh kerajaan untuk memastikan kestabilan politik dan keadilan sosioekonomi
serta keamanan negara sentiasa terpelihara.
3.0 Peranan Kerajaan
Memupuk semangat hubungan etnik yang harmoni menjadi agenda
utama kerajaan yang dilaksanakan menerusi perancangan dan pelaksanaan
dasar-dasar tertentu. Usaha-usaha ini diteruskan dengan memperkenalkan konsep
1Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan slogan
"rakyat didahulukan pencapaian diutamakan". Konsep ini bertujuan
untuk melahirkan bangsa Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi
pelbagai cabaran yang dibawa oleh arus globalisasi. Disamping itu konsep ini
juga bertujuan memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat pelbagai
etnik di negara ini.
Pelbagai agensi kerajaan juga dipertanggungjawabkan untuk
memastikan segala usaha dan perancangan kerajaan dalam menyatupadukan
masyarakat pelbagai etnik di negara ini dilaksanakan dengan berkesan.
3.1 Penubuhan Jabatan Perpaduan negara dan
integrasi nasional (JPnin)
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional adalah sebuah badan yang
ditubuhkan dan bertanggungjawab memupuk dan memelihara perpaduan antara etnik
di negara ini. Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik
mempunyai latar belakang budaya, agama, bahasa dan adat resam yang berbeza.
Walaupun etnik yang berlainan ini berganding bahu di bawah satu sistem politik
yang sama namun kehidupan mereka adalah berasingan. Interaksi dalam kalangan
mereka juga kurang dan hubungan antara mereka hanya terbatas kepada perkara
tertentu terutama yang berkaitan dengan aktiviti ekonomi. Pembahagian buruh
dalam sistem ekonomi dibuat berdasarkan pemisahan etnik dalam masyarakat dengan
setiap etnik mempunyai fungsi ekonomi yang tersendiri. Bagaimanapun suasana ini
jauh lebih baik jika dibandingkan dengan suasana sewaktu Tanah Melayu baru
mencapai kemerdekaan. Masyarakat pada waktu itu menepati ciri-ciri masyarakat
majmuk seperti yang diutarakan Furnivall (1948), kesan daripada pelaksanaan
dasar pecah dan perintah oleh British.
Dalam hal ini isu perpaduan dan hubungan antara etnik merupakan
agenda penting negara dalam memastikan kestabilan politik sentiasa terjamin.
Generasi kini yang mewarisi konsep masyarakat majmuk sejak merdeka masih
menghadapi persoalan dan dilema akibat masalah segregasi antara kaum. Keadaan
ini secara tidak langsung menggambarkan konflik antara kaum yang wujud akibat
perbezaan persepsi dalam kalangan kaum. Masyarakat kini masih belum sepenuhnya
menjiwai nilai dan konsep satu bangsa
Malaysia sebagaimana yang terkandung dalam cabaran pertama Wawasan 2020 yang
menekankan perpaduan masyarakat. Integrasi nasional penting kerana dapat
mengikis sentimen perkauman.
Nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum harus
dipertahankan agar keharmonian dapat dikekalkan. Majlis Gerakan Negara
(MAGERAN) ditubuhkan sebagai usaha untuk memulihkan hubungan antara kaum kesan
daripada peristiwa 13 Mei.
3.2 Rukun Negara
Di samping itu, kerajaan telah menjadikan Rukun Negara sebagai
tunjang kepercayaan dan kesetiaan rakyat berbilang kaum terhadap kepemimpinan
negara. Pada 1 Julai 1969, MAGERAN mewujudkan Jabatan Perpaduan Negara untuk
menangani isu berhubung pembinaan semula perpaduan kaum di negara ini (Jabatan
Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional 2006).
Selepas MAGERAN dibubarkan, Majlis Penasihat Perpaduan Negara ditubuhkan pada
23 Februari 1971 bagi memupuk dan memelihara perpaduan kaum. Majlis Penasihat
Perpaduan Negara diletakkandi bawah tanggungjawab Jabatan Perpaduan Negara
(JPN). Antara tahun 1990 – 2004, JPN diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan
Negara dan Pembangunan Masyarakat dan seterusnya diletakkan semula di bawah
tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri dengan nama Jabatan Perpaduan Negara dan
Integrasi Nasional (JPNIN).
dasar-dasar Kerajaan.Kerajaan telah merangka dan memberi penekanan kepada
beberapa dasar dalam bidang sosioekonomi yang menjurus kepada perpaduan dan
keharmonian masyarakat pelbagai etnik serta menjalin integrasi nasional. Antara
dasar tersebut ialah Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan
dan Dasar Ekonomi Baru. Dasar tersebut diperkukuhkan lagi dengan pengenalan
Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan. Kesemua dasar tersebut bertujuan
untuk mengurangkan dan mengawal tindak-tanduk politik melampau yang boleh
memecahbelahkan perpaduan rakyat .Kerajaan juga telah membentuk beberapa dasar
lain seperti Dasar Pembangunan Negara, Dasar Wawasan Negara dan Dasar Sosial
Negara. Semua dasar tersebut dimantapkan lagi dengan pengenalan Wawasan 2020
dengan visi dan misi menjadikan Malaysia maju dalam semua
aspek kehidupan. Pelan tindakan JPNIN melalui Pelan Tindakan Perpaduan dan
Integrasi Nasional 2005 – 2010 telah merancang pelbagai usaha untuk memupuk dan
mempertingkatkan lagi perpaduan dan integrasi nasional melalui pelbagai
strategi seperti berikut:
3.3 Strategi Persefahaman Politik
Dalam aspek ini kerajaan telah berusaha memupuk perpaduan negara berlandaskan
peruntukan dalam perlembagaan merangkumi:
i. Sistem kerajaan persekutuan
ii. Demokrasi berparlimen
iii. Raja berperlembagaan
iv. Kedudukan Raja-raja Melayu
v. Bahasa kebangsaan
vi. Hak mengamalkan agama masing-masing
vii. Hak asasi rakyat Malaysia
viii. Kedudukan istimewa kaum bumiputera dan peribumi
ix. lambang-lambang negara
x. Pembahagian kuasa dan tanggungjawab antara kerajaan persekutuan dengan
kerajaan negeri.
Kesemua perkara tersebut merupakan kerangka kepada usaha kerajaan dalam bidang
politik untuk memupuk identiti nasional, perpaduan antara kaum dan integrasi
antara wilayah
.
Di samping itu, mewujudkan langkah keselamatan dan undang- undang juga adalah
penting untuk mengawal dan mencegah pertubuhan yang memperjuangkan kepentingan
sesuatu kaum atau agama daripada melakukan kegiatan yang dapat menjejaskan
keharmonian antara kaum dan menggugat kestabilan negara. Pemantauan perlu
dilakukan ke atas
amalan dan etika dalam parti politik supaya pendukung parti bersikap dan
bertindak sederhana terhadap sesuatu isu untuk mengelakkan daripada berlaku
ketegangan antara kaum.
3.4 Strategi Keseimbangan ekonomi
Faktor yang boleh menimbulkan ketegangan hubungan antara etnik selalunya
dikaitkan dengan sentimen etnosentrisme, prejudis serta tanggapan dan kedudukan
sosioekonomi antara etnik yang tidak seimbang. Masalah ini dirumitkan lagi
apabila kumpulan etnik dikenali mengikut aktiviti ekonomi mereka. Lantaran itu, usaha kerajaan untuk
mencapai perpaduan adalah dengan mengimbangkan kedudukan sosioekonomi antara
etnik dan antara wilayah serta mengurangkan pengenalan etnik berdasarkan
kegiatan ekonomi. Hal ini ditangani menerusi beberapa kaedah seperti
meningkatkan taraf ekonomi antara etnik dan wilayah tanpa merugikan mana-mana
pihak. Penjelasan sewajarnya perlu diberikan kepada semua pihak supaya sebarang
salah tanggapan dapat diperbetulkan dan perasaan tidak puas hati dapat
dibendung. Usaha kerajaan untuk mengurangkan dan membasmi kemiskinan tanpa
mengira etnik dan perbezaan wilayah perlu mendapat sokongan daripada sektor
swasta supaya pengenalan etnik berdasarkan aktiviti ekonomi dapat dikurangkan.
3.5 Strategi Sistem Pendidikan
Sistem pendidikan merupakan salah satu daripada alat terpenting
dan berkesan bagi membina jati diri nasional, memupuk semangat kebangsaan,
cinta kepada negara dan berperanan mengeratkan perpaduan. Peranan sistem
pendidikan meliputi aspek menyediakan persekitaran serta kemudahan yang
kondusif bagi keperluan sosialisasi dalam kalangan sebilangan besar rakyat. Semangat
perpaduan boleh diterapkan kepada pelajar bermula dalam lingkungan usia muda di
samping menanam sikap dan nilai yang dapat melahirkan kesedaran nasional,
semangat cinta dan bangga kepada negara dan perpaduan antara kaum. Pelbagai
langkah telah diambil untuk menggalakkan wujudnya satu sistem persekolahan dari
peringkat prasekolah hingga ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi dengan
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan menyeragamkan kurikulum,
kokurikulum, peperiksaan serta pensijilan yang mempunyai pengiktirafan yang
sama.
Di samping langkah yang telah disebutkan, kerajaan juga membenarkan pengajaran
dan pembelajaran menggunakan bahasa ibunda kaum tertentu seperti bahasa
Mandarin, Tamil, Iban dan Kadazan Dusun di peringkat sekolah rendah dan
menengah. Kurikulum sekolah rendah dan menengah memberikan tumpuan yang
sewajarnya dalam mata pelajaran sejarah negara, termasuk persetujuan antara
kaum dan negeri tentang peruntukan tertentu dalam perlembagaan, budaya dan adat
resam kaum di Malaysia, serta unsur-unsur penting agama dan kepercayaan utama.
Pendidikan dan aktiviti kokurikulum juga menerapkan sikap dan nilai-nilai yang
mendukung pencapaian perpaduan negara. Sikap dan nilai-nilai ini termasuk juga
sikap kesejahteraan, bertolak ansur dan saling menghormati antara kaum dan
agama, taat setia dan cinta kepada negara.
Selain itu, pendidikan sepanjang hayat, iaitu program pendidikan yang
dijalankan oleh pelbagai agensi dan pihak di luar sistem pendidikan formal,
juga memainkan peranan penting dalam usaha memupuk perpaduan negara dan
integrasi nasional. Terdapat pelbagai bentuk pendidikan tidak formal yang
disertai oleh pelbagai kaum seperti kursus jangka pendek anjuran badan kerajaan
dan NGO. Penyertaan pelbagai kaum dalam program berkenaan secara tidak langsung
akan menggalakkan interaksi antara satu sama lain seterusnya dapat menjalin
ikatan perpaduan.
3.6 Strategi Penggunaan Bahasa Kebangsaan
Penggunaan satu bahasa yang sama merupakan salah satu alat yang
paling berkesan untuk memupuk perpaduan. Penggunaan satu bahasa juga
membolehkan pelbagai kaum dan keturunan berkomunikasi antara satu sama lain
dengan selesa. Mereka menggunakan satu bahasa rujukan yang sama untuk
menginterpretasikan alam dan realiti dan mewujudkan satu ciri persamaan antara
mereka sebagai unsur utama pembentukan kebudayaan kebangsaan. Dalam hal ini,
bahasa Melayu amat sesuai digunakan sebagai bahasa penyatu selain diangkat
sebagai bahasa rasmi negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Berdasarkan fakta sejarah kemampuan bahasa Melayu juga telah terbukti iaitu
menjadi lingua-franca terutama dalam zaman pemerintahan Kesultanan Melayu
Melaka. Bahasa Melayu juga pernah digunakan dalam hubungan diplomatik antara
kerajaan Melayu Melaka dengan negara luar.
3.7 Strategi Kepercayaan agama
Perlembagaan
dan Rukun Negara menjamin bahawa rakyat Malaysia bebas menganut dan mengamalkan
agama dan kepercayaan masing- masing bertujuan untuk memelihara suasana harmoni
antara rakyat berbilang kaum. Walaupun agama Islam sebagai agama persekutuan
namun agama-agama lain dilindungi oleh perlembagaan. Pengembangan sesuatu agama
dalam kalangan penganut agama lain tertakluk kepada peruntukan dalam
perlembagaan dan undang-undang. Justeru, sebarang aktiviti keagamaan perlu
dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menyentuh sensitiviti penganut agama
lain
.
3.8
Strategi Kebudayaan
Kerajaan juga berusaha mewujudkan kebudayaan nasional yang menjadi milik
bersama rakyat negara ini tanpa mengira kaum, keturunan dan wilayah sebagai asas
pembentukan bangsa, jati diri nasional dan perpaduan negara. Kebudayaan
nasional dibentuk berpandukan tiga prinsip dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan
iaitu Kebudayaan Kebangsaan Malaysia berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau
ini; unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar, diterima menjadi unsur
Kebudayaan Kebangsaan; dan Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan
Kebudayaan Kebangsaan.Kerajaan juga menentukan bahawa pembentukan Kebudayaan
Kebangsaan tidak bermakna mengabaikan kebudayaan sukuan. Kebudayaan sukuan yang
tidak menjadi sebahagian daripada Kebudayaan Kebangsaan seperti ciri-ciri
tertentu dalam kebudayaan Melayu, Iban, Kadazan Dusun, Cina, India termasuk
kebudayaan Barat bebas diamalkan selagi tidak menjejaskan nilai-nilai kesopanan
dan kesusilaan. Bagaimanapun nilai-nilai masyarakat yang bersifat positif
merupakan aspek penting dalam Kebudayaan Kebangsaan kerana nilai- nilai
tersebut adalah nilai-nilai sejagat dan menjadi kepunyaan bersama pelbagai kaum
dan keturunan di Malaysia.
3.9 Strategi integrasi Wilayah
Kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah untuk mengintegrasikan antara rakyat
di Semenanjung dengan di Sabah dan Sarawak sejak.Malaysia ditubuhkan.
Bagaimanapun faktor geografi telah menyumbang kepada kewujudan jarak sosial
antara wilayah tersebut. Antara langkah kerajaan ialah melakukan penambahbaikan
dalam sistem perhubungan kebangsaan dan pengangkutan perluasan sistem radio dan
televisyen nasional di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan;penubuhan
pelbagai agensi kerajaan persekutuan di negeri berkenaan dan mengadakan program
lawatan pemimpin masyarakat untuk melahirkan integrasi yang kukuh antara negeri
dan rakyat di wilayah tersebut. Walaupun pelbagai bentuk langkah seperti yang
dinyatakan telah dilaksanakan, tetapi masih terdapat pelbagai permasalahan dan
salah tanggapan dalam usaha ke arah mengintegrasikan wilayah dan dalam hubungan
Kuala lumpur-Kuching-Kota Kinabalu. Oleh itu tumpuan khusus diberi kepada usaha
pemupukan integrasi wilayah dan hubungan antara Kuala lumpur-Kuching-Kota
Kinabalu dengan cara memberi penekanan terhadap aspek interaksi dan pergaulan
yang lebih luas antara rakyat di wilayah berkenaan. Pelan tindakan adalah
dengan memberikan penjelasan lebih mendalam tentang adat resam dan kebudayaan
setiap etnik serta mengikis salah tanggapan yang timbul dalam bidang
sosioekonomi dan sebagainya. Selain daripada melakukan integrasi antara
wilayah, tumpuan juga diberikan kepada pengintegrasian antara kawasan bandar
dengan kawasan luar bandar agar kemajuan ekonomi dan prasarana yang diadakan
dapat dikongsi secara adil dan saksama.
3.10 Strategi Keselamatan
Kerajaan juga mengatur langkah keselamatan untuk memelihara dan mencapai
perpaduan yang mantap dan berkekalan. Strategi perpaduan negara dalam bidang
keselamatan meliputi aspek pencegahan daripada berlakunya ancaman kepada
keselamatan negara dan ketenteraman awam. Penekanan diberi kepada aspek
pencegahan supaya nyawa dan harta benda awam dan pembangunan negara dapat
dipelihara dan tidak terancam. Aspek pencegahan merangkumi penguatkuasaan
sekatan di sisi undang-undang ke atas kebebasan bercakap, berhimpun dan
menubuhkan persatuan, tahanan preventif, penguatkuasaan peruntukan Akta
Hasutan, dan kawalan terhadap penerbitan melalui undang-undang yang berkaitan.
Pemulihan pula ialah usaha untuk menenteramkan keadaan setelah berlakunya
sesuatu konflik. Aspek pemulihan termasuk keselamatan dan ketenteraman awam
yang melibatkan tindakan, terutamanya daripada pihak polis dan dibantu oleh
pihak lain seperti angkatan tentera, Ikatan Relawan Rakyat (RElA), Rukun
Tetangga dan dalam keadaan yang ekstrem, mengisytiharkan darurat.
3.11 Strategi Pembangunan Kawasan
Dalam aspek pembangunan kawasan, kerajaan mengarahkan pemaju perumahan serta
pihak berkuasa tempatan supaya mengambil kira aspek perpaduan etnik. Sesuatu
kawasan yang hendak dimajukan untuk dibuat penempatan baharu, misalnya,
seharusnya mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum agar sentimen
perkauman dapat dicairkan. Seterusnya setiap penempatan perlu menubuhkan
jawatankuasa penduduk seperti Rukun Tetangga dan menganjurkan aktiviti yang
melibatkan semua penduduk tanpa mengira kaum dan agama. Prasarana seperti dewan
serba guna dan dewan komuniti perlu disediakan untuk kegunaan penduduk
melakukan aktiviti kemasyarakatan. Penyediaan kemudahan tersebut dapat membantu
menyemaikan semangat perpaduan dan interaksi antara etnik melalui pelbagai
aktiviti sosial yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Kerajaan juga menegaskan
supaya sesuatu kawasan perumahan mengandungi pembangunan bercampur seperti fasa
perumahan kos rendah, sederhana dan juga mewah agar dapat mengurangkan jurang
sosial dalam kalangan masyarakat melalui pergaulan dan interaksi. Kemudahan
yang disediakan haruslah dapat dinikmati oleh penduduk dan tidak dibatasi oleh
taraf sosioekonomi mereka.
3.12 Strategi Penggunaan Tenaga Manusia
Pihak kerajaan meminta kerjasama daripada para majikan sama ada daripada pihak
awam ataupun swasta untuk memastikan agar sebarang lantikan mengisi sesuatu
jawatan tidak berdasarkan faktor kaum, agama dan budaya. Pemilihan perlu dibuat
secara adil berdasarkan kelayakan pemohon kerana hakikatnya, Malaysia merupakan
sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Majikan juga perlu
memainkan peranan menerapkan unsur perpaduan dalam kalangan pekerja
melaluipelaksanaan dasar syarikat dan program serta aktiviti yang dianjurkan.Di
samping itu, mereka juga bertanggungjawab melaksanakan setiap dasar yang
digubal oleh kerajaan. Interaksi antara pekerja pelbagai etnik perlu digalakkan
supaya perasaan prejudis dan salah tanggapan antara mereka dapat dikurangkan.
Pemupukan nilai-nilai murni yang menyumbang kepada perpaduan negara seperti
semangat patriotisme dan kekitaan perlu sentiasa diterapkan.
.
3.13 Strategi Media Massa
Media massa juga memainkan peranan berkesan untuk membantu memupuk perpaduan
negara melalui penyampaian maklumat, pembentukan sikap dan pandangan rakyat
serta penerapan nilai-nilai positif ke arah memajukan semangat perpaduan.
Internet sebagai wadah penyebaran maklumat juga perlu digunakan sebaik mungkin.
Perkembangan media elektronik mampu menghubungkan rakyat termasuk masyarakat
terpencil di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Syarikat swasta yang
mengendalikan stesen televisyen turut memainkan peranan penting dalam usaha
memupuk perpaduan negara dan integrasi nasional sebagai tanggungjawab sosial
mereka kepada bangsa dan negara.
Penerbit akhbar dan majalah juga digalakkan memberi sumbangan kepada usaha
memantapkan perpaduan negara berdasarkan etika kewartawanan. Pengamal media
dituntut supaya bertanggungjawab dan peka apabila menyentuh dan melaporkan
perkara yang dapat menjejaskan perpaduan dan perhubungan antara kaum dan agama.
Mereka juga perlu memastikan bahawa laporan tidak melanggar Akta Hasutan 1948
dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta tidak menjejaskan atau menggugat
ketenteraman awam dan keselamatan negara.
3.14 Strategi Kesukanan
Sukan merupakan bidang yang ideal bagi membentuk perpaduan dan integrasi dalam
kalangan rakyat berbilang kaum, khususnya bagi acara sukan yang popular. Sukan
mewujudkan peluang dan persekitaran bagi pergaulan dan interaksi sosial dan
melahirkan suasana yang sangat sesuai bagi memupuk semangat persaudaraan dan
solidariti tanpa mengira etnik dan keturunan. Melalui sukan juga dapat membantu
menaikkan semangat patriotisme dan mencairkan perasaan etnosentrisme, prejudis dan
prasangka buruk dalam kalangan rakyat, lebih-lebih lagi apabila acara itu
diadakan di tanah air khususnya sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa
yang diwakili oleh pasukan kebangsaan atau negara.
3.15 Strategi Perpaduan dan Pertubuhan Sukarela
Kerajaan telah memperkenalkan konsep pemasyarakatan perpaduan pada 1998 untuk
menerapkan ciri-ciri identiti nasional bagi membangunkan bangsa Malaysia
berasaskan semangat persaudaraan dan kewarganegaraan yang tinggi. Proses
penerapan nilai-nilai murni menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan
pelbagai etnik menggunakan segala saluran dan prasarana yang sedia ada. Selain
itu, diperkenalkan juga jentera kemasyarakatan seperti Rukun Tetangga dan
persatuan penduduk dalam usaha menjayakan penerapan nilai-nilai murni,
perpaduan dan integrasi nasional melalui aktiviti kemasyarakatan.
3.16 Strategi Penyelidikan dan Penerbitan Bahan Bacaan
Usaha kerajaan memperbanyakkan aktiviti penyelidikan tentang perpaduan negara
dan integrasi nasional penting untuk mengetahui pola hubungan etnik semasa.
Hasil kajian dapat digunakan untuk merangka strategi dan perancangan program
yang berkesan di samping mewujudkan instrumen untuk mengukur tahap perpaduan.
Ia boleh diperkukuhkan dengan adanya penerbitan bahan bacaan tentang perpaduan
dan integrasi serta adat resam masyarakat Malaysia.
3.17 Strategi Pemantauan isu-isu Semasa dan Konflik
Mewujudkan mekanisme pemantauan tahap perpaduan dan integrasi nasional secara
berterusan dan sistematik merupakan langkah pengesanan awal terhadap isu-isu
semasa dan konflik. Pengesanan perhubungan sosial perlu
ditingkatkan lagi melalui sistem dalam talian kerana bukan sahaja maklumat
dapat dikesan atau diperoleh dengan segera, tetapi dapat membantu pihak jabatan
dan agensi lain untuk mengambil tindakan pencegahan awal
.
3.18 Strategi Penubuhan Panel Penasihat Perpaduan negara (Panel) dan Jawatankuasa
Penasihat Perpaduan Peringkat negeri (JKPPn)
Penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEl) dan Jawatankuasa Penasihat
Perpaduan Negeri (JKPPN) bertujuan untuk membincangkan isu perpaduan dan
integrasi nasional dan memainkan peranan lebih berkesan. Badan-badan ini
bertindak sebagai penyelaras kepada agensi lain dan seterusnya bertanggungjawab
menasihat, melapor, dan mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri dan Parlimen
tentang sebarang isu yang berkaitan dengan perpaduan dan integrasi sosial
.
3.19 Strategi Program dan aktiviti Perpaduan
Kerajaan merangka program pemetaan perpaduan untuk meningkatkan kesedaran dan
penghayatan kumpulan sasaran termasuk kanak- kanak prasekolah sehingga ke
peringkat pengajian tinggi. Seterusnya kakitangan kerajaan dan swasta serta
anggota komuniti seperti belia, wanita dan orang kurang upaya serta orang ramai
juga boleh berperanan membawa perubahan dari aspek pengetahuan, sikap dan
kemahiran tentang perpaduan antara etnik. Di peringkat sekolah, aktiviti yang dicadangkan
adalah berbentuk pendidikan pelbagai budaya yang boleh diintegrasikan dalam
bentuk kurikulum dan kokurikulum. Di tempat kerja pula, aktivitinya adalah
tentang pengurusan kepelbagaian dalam kalangan pekerja, manakala pada peringkat
komuniti, aktivitinya berunsurkan pengembangan yang boleh membawa perubahan
serta pembangunan kepada masyarakat setempat. Selain itu, strategi lain yang
difikirkan dapat membantu memantapkan proses perpaduan dan integrasi juga turut
diwujudkan seperti latihan dalam bidang komunikasi antara budaya, pengauditan
dasar kerajaan dan menghasilkan satu etika tentang hak dan tanggungjawab
kemanusiaan untuk rakyat Malaysia. Usaha juga perlu dipergiatkan untuk
menerbitkan bahan bacaan secara meluas tentang pelbagai etnik di Malaysia.
3.20 Memperkasakan Sekolah Kebangsaan
Sistem pendidikan negara pelbagai aliran menyebabkan tidak ada acuan khusus
yang boleh digunakan untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu. Hal ini
menyebabkan ibu bapa lebih cenderung memilih aliran mengikut etnik
masing-masing. Usaha memupuk perpaduan harus bermula sejak awal lagi, iaitu
sewaktu anak-anak berada di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah,
mengikuti acuan kurikulum yang sama. Dengan itu, sekolah kebangsaan perlu
diperkasakan bagi menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai
etnik supaya mereka dapat dilatih hidup saling bekerjasama dan mempunyai
semangat patriotisme serta berakomodatif yang tinggi.
langkah-langkah untuk memperkasakan sekolah kebangsaan perlu diletakkan di
landasan yang lebih kukuh ke arah menyatupadukan rakyat berbilang etnik tanpa
mengetepikan sekolah rendah jenis kebangsaan yang telah dipersetujui oleh semua
golongan etnik di bawah kontrak sosial. Setiap ibu bapa diberi kebebasan
menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan termasuk sekolah jenis kebangsaan
Cina atau Tamil tanpa halangan. Sekolah kebangsaan merupakan institusi
pendidikan utama bagi anak-anak Malaysia untuk memenuhi aspirasi dan memiliki
jati diri nasional.
Sekolah Kebangsaan bukan sahaja berkemampuan mendidik pelajar
pelbagai etnik, tetapi juga membantu menanam nilai- nilai perpaduan dalam
kalangan warganegara Malaysia.
Memupuk semangat perpaduan dan keyakinan terhadap sistem sekolah satu aliran,
iaitu sekolah kebangsaan perlu ditadbir sebaik- baiknya supaya bukan sahaja
boleh menarik orang Melayu, tetapi juga orang bukan Melayu menghantar anak
mereka belajar di sekolah tersebut. Lantaran itu, dalam Rancangan Malaysia
Kesepuluh, kualiti pengajaran di sekolah kebangsaan dipertingkatkan dengan 100
peratus guru di sekolah menengah dan 25 peratus guru di sekolah rendah akan
mempunyai kelayakan ijazah pertama menjelang tahun 2012 supaya sekolah
kebangsaan menjadi sekolah pilihan. Semangat perpaduan dalam kalangan pelajar
perlu dipupuk bukan sahaja di peringkat sekolah, tetapi juga di peringkat
Institusi Pengajian Tinggi dengan beberapa pendekatan. Antaranya, tidak
mengetepikan penguasaan bahasa ibunda masing-masing seperti bahasa Mandarin,
Tamil, Iban dan Kadazan Dusun, memberikan kesedaran kepada pelajar tentang
kepentingan interaksi antara golongan etnik, mengadakan lebih banyak aktiviti
antara golongan etnik, mengadakan program interaksi antara sekolah dan
memasukkan unsur-unsur interaksi etnik dalam kurikulum serta meningkatkan
kemahiran berinteraksi dengan golongan etnik lain.
3.21 Memperkasakan Sekolah Wawasan
Kerajaan telah memperkenalkan konsep Sekolah Wawasan sebagai satu daripada
pendekatan alternatif untuk memupuk nilai perpaduan etnik dan integrasi
nasional dengan membina dua atau tiga jenis sekolah rendah yang berlainan
bahasa pengantar. Namun, pentadbiran terletak dalam kawasan yang sama dan
berkongsi kemudahan asas seperti padang permainan dan dewan. Sekolah Wawasan
ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang memberikan peluang yang luas
kepada para pelajar pelbagai etnik untuk bergaul dan berinteraksi melalui
pelbagai aktiviti tanpa menjejaskan status dan perkembangan sekolahnya.
3.22 Memperkenalkan Program latihan Khidmat negara (PlKn)
Program latihan Khidmat Negara (PlKN) mula dilaksanakan pada 2004 sebagai
kursus wajib selama tiga bulan di kem latihan bagi remaja lepasan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM). PlKN yang berteraskan Rukun Negara mempunyai
kurikulum berbentuk multidisiplin yang mengandungi beberapa modul.
Antaranya:
i.Modul Fizikal yang merangkumi aktiviti kawad, merempuh halangan, merentas
desa dan kembara hutan;
ii. Modul Kenegaraan yang memberi penekanan terhadap aspek pengetahuan tentang
pembinaan negara bangsa;
iii. Modul Pembinaan Karektor mencakupi penerokaan diri sendiri dan hubungan
interpersonal;
iv. Modul Khidmat Komuniti yang menyentuh antara lain aktiviti gotong-royong
seperti membersihkan, mengindahkan dan menceriakan kawasan sekitar.
Antara objektif utama PLKN adalah untuk
:
i. Menanam semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda atau remaja
Malaysia.
ii. Memupuk perpaduan etnik serta integrasi nasional.
iii. Membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.
4.0 Peranan Masyarakat dalam Konteks hubungan etnik
Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dimainkan oleh masyarakat untuk
memastikan keharmonian etnik sentiasa terjaga. Antara aktiviti itu adalah
seperti berikut:
Rukun Tetangga
Rukun Tetangga diperkenalkan pada tahun 1975 berikutan penguatkuasaan
Peraturan-Peraturan Perlu mengenai Rukun Tetangga1975. Pada mulanya Rukun
Tetangga bertujuan untuk membolehkan rakyat mengawal keselamatan di kawasan
kediaman masing-masing dengan mewajibkan masyarakat setempat berumur 18 hingga
55 tahun menjalankan tugas rondaan pada waktu malam. Mulai 1 Januari 1983,
kerajaan telah membuat pindaan terhadap Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975
dengan memberi penekanan kepada konsep kejiranan untuk memupuk serta
mengukuhkan lagi semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Pada
tahun 2000, peraturan Rukun Tetangga telah dipinda sekali lagi dengan memberi
ruang yang lebih luas untuk pembangunan masyarakat secara menyeluruh ke arah
mewujudkan perpaduan nasional.
Visi dan misi Rukun Tetangga adalah untuk membantu memupuk persefahaman dan
bertolak ansur ke arah pembangunan bangsa Malaysia yang bersatu padu serta
mempunyai identiti sendiri dengan motonya “Bersatu Terus Maju” dalam konteks
pencapaian Wawasan 2020. Objektifnya ialah memelihara, meningkat dan
mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan dasar
pembangunan negara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Dengan kata lain, Skim Rukun Tetangga diperkenalkan sebagai langkah untuk
membolehkan rakyat sendiri mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman
mereka dengan penekanan terhadap konsep kejiranan serta falsafah bahawa
kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara. Peranannya
diperluaskan lagi kepada pembangunan komuniti bagi memastikan perpaduan dan
keharmonian hubungan dalam masyarakat akan berterusan dan berkekalan.Dari aspek
sosial, ahli
Rukun Tetangga melakukan
amalan kunjung-mengunjung semasa musim perayaan. Dari segi pendidikan, mereka mengadakan
sistem pendidikan tidak formal seperti kolokium jiran wanita, kursus motivasi,
kursus kepemimpinan, tuisyen dan ceramah dalam pelbagai bidang. Selain itu,
mereka juga mengadakan aktiviti sukan seperti sukaneka, larian amal, permainan bola
sepak, bola baling, bola jaring, sukan air, sukan tradisional dan sukan rakyat.
Mereka juga mengadakan aktiviti rekreasi seperti tai chi, ekspedisi mendaki
bukit, kembara mendaki gunung dan khemah kerja.
Ceramah kesihatan berkaitan anti-dadah, AIDS, kanser, kempen kebersihan, dan
menjaga harta awam juga dianjurkan oleh
Jawatankuasa Rukun Tetangga. Ceramah dan forum berkaitan dengan keagamaan juga
diadakan. Aktiviti melawat ke rumah warga tua, memberikan sumbangan kepada
orang miskin, membuat kerja amal, membantu mangsa banjir, ribut dan bencana
alam juga dilaksanakan. Jawatankuasa Rukun Tetangga juga mengadakan kelas seni
tari, kraf tangan, permainan tradisional, kelas gamelan, kompang, tarian
tradisional, tarian singa, pertunjukan pentasdan lain-lain.
Dalam aspek ekonomi pula mereka mengadakan projek tanaman secara hidroponik,
ternak ikan air tawar dan membuat air lada manakala dalam aspek keselamatan,
mereka mengadakan rondaan sukarela, mengesan dan melaporkan isu hubungan etnik
dan menjadi perantara dalam penyelesaian konflik. Aktiviti tersebut bertujuan
untuk membolehkan penduduk setempat berkenalan, bantu-membantu dalam menghadapi
masalah bersama, berinteraksi dan merapatkan hubungan di peringkat akar umbi
antara pemimpin dengan rakyat dan antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan
budaya.
rumah Terbuka. Rumah terbuka diadakan sempena sambutan musim perayaan sesuatu
kaum di Malaysia. Masyarakat pelbagai etnik saling berkunjung ke rumah jiran
tetangga mereka. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, etnik
Cina, India, Kadazan Dusun, Iban dan pelbagai lagi akan berkunjung ke rumah
etnik Melayu dan begitulah sebaliknya apabila tiba perayaan etnik lain. Etnik
Cina, misalnya, akan berusaha menyediakan makanan yang halal kepada etnik
Melayu apabila me njemput etnik Melayu datang ke rumah mereka sewaktu perayaan
Tahun Baru Cina. Demikian juga semasa perayaan Krismas atau Deepavali.Hal ini
menunjukkan etnik Cina, India, Iban, dan Kadazan Dusun begitu mengambil berat
dan memahami budaya etnik Melayu dan etnik Melayu pula tidak akan menyajikan
daging lembu kepada etnik India apabila mereka datang ke rumah semasa Hari Raya
Aidilfitri. Pertimbangan ini memperlihatkan keharmonian hubungan etnik sentiasa
terjalin kukuh dalam kalangan rakyat dan memahami keharmonian budaya
masing-masing. Amalan ini membuktikan kesepaduan sosial dalam masyarakat berada
pada tahap yang tinggi walaupun mereka berlainan agama, etnik dan budaya.
Penerimaan Budaya
Pada masa ini, masyarakat bukan Melayu seperti Cina dan India termasuk juga
etnik bumiputera di Sabah dan Sarawak telah menerima budaya etnik Melayu dari
segi pakaian dan makanan. Contohnya, orang bukan Melayu seperti Cina, India,
dan Kadazan Dusun telah memakai baju kurung dan baju Melayu. Malah, trend berpakaian
dan menikmati juadah makanan Melayu sudah menjadi lumrah bagi etnik bukan
Melayu. Bagi orang Melayu pula, mereka mula menerima masakan Cina dan India
serta pemberian duit raya telah menggunakan sampul atau angpau yang terkenal
dalam golongan orang Cina.
4.5 Program di institusi Pengajian Tinggi
(iPT)
Di IPT bahagian hal ehwal pelajar melalui persatuan dan kelab telah
menggalakkan aktiviti dan program yang menjurus kepada perpaduan etnik dalam
kalangan mahasiswa. Sebagai contoh, aktiviti Pesta Tanglung bukan sahaja
melibatkan mahasiswa Cina dan India, tetapi turut disertai mahasiswa Melayu.
Dalam aspek kepemimpinan pelajar, ternyata tidak didominasi oleh sesuatu etnik
sahaja, malah dianggotai oleh pelbagai etnik seperti dalam Majlis Perwakilan Pelajar
(MPP).
Kandungan kursus di semua IPT menitikberatkan aspek pendidikan yang harmoni
dalam masyarakat pelbagai etnik. Nilai rohani dan budaya diberikan keutamaan
dalam subjek Kenegaraan, Tamadun Islam dan Asia khususnya menerusi kursus
Hubungan Etnik untuk menguatkan peribadi dan sahsiah pelajar.
Kelab Perpaduan atau Kelab Rukun Negara telah diwujudkan di IPT sebagai usaha
menyemai kesedaran terhadap kepentingan perpaduan etnik dengan menggalakkan
mahasiswa menganggotai kelab berkenaan. Pelajar juga digalakkan mempergiatkan
dan mempertingkatkan aktiviti kokurikulum seperti dalam program sukan, kelab,
persatuan, pameran dan ceramah. Aktiviti kokurikulum sedemikian merupakan
bidang pembelajaran yang menekankan pemupukan dan perkembangan diri individu melalui
psikomotor, kognitif dan afektif.
Di luar sistem akademik pula, para mahasiswa dilibatkan dalam aktiviti pelbagai
etnik seperti menyertai program keluarga angkat, persatuan dan badan
beruniform. Para pelajar juga perlu ditugaskan dalam projek perkhidmatan
masyarakat seperti operasi khidmat masyarakat dan mahasiswa balik kampung. Hal
ini akan memberi pengalaman yang sangat berharga dalam memahami kehidupan rakyat Malaysia yang pelbagai sifatnya.
Aktiviti berpersatuan dan khidmat masyarakat mempunyai peranan penting dalam
menggalakkan penyertaan dan pengalaman bersama antara etnik. Lantaran itu,
pihak kerajaan dan sektor swasta perlu menyokong sepenuhnya aktiviti berkenaan.
Para pensyarah juga perlu diterapkan dan didedahkan dengan sikap perpaduan antara
kaum yang positif. Mereka perlu mendapat pendedahan tentang kursus seperti
Hubungan Etnik untuk menerapkan nilai-nilai yang penting dalam kalangan pelajar
bagi memupuk keharmonian etnik. Para pensyarah dan mahasiswa berperanan sebagai
agen penyebar perpaduan dan keharmonian. Mereka merupakan agen integrasi dan
perpaduan yang memainkan peranan penting dalam menggalakkan lebih banyak
interaksi melalui tugasan dan projek akademik.
4.6 Peranan NGO dalam Konteks hubungan etnik
Terdapat pertubuhan induk di peringkat kebangsaan yang menaungi pertubuhan
berasaskan etnik seperti Pertubuhan Belia Malaysia dan Dewan Perniagaan dan
Perusahaan Malaysia. Pertubuhan NGO pula dapat memainkan peranan untuk
mempercepatkan proses hubungan etnik di Malaysia. Dari aspek kepemimpinan pula
pemimpin persatuan di peringkat negara atau persatuan, barisan kepemimpinannya
disertai oleh pemimpin daripada pelbagai etnik. Sebagai contoh, kepemimpinan
Majlis Belia Malaysia disertai oleh semua golongan etnik. Walaupun terdapat
pembahagian pertubuhan mengikut etnik seperti Pergerakan Belia 4B, Persatuan
Belia Tamil, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Dewan Perniagaan Cina dan Dewan
Perniagaan India Malaysia, namun persatuan berkenaan dapat digunakan oleh NGO
untuk mengadakan pelbagai dialog dan seminar dalam usaha memahami permasalahan
dan jalan penyelesaiannya. Melalui dialog dan seminar tersebut, secara tidak
langsung akan dapat memupuk hubungan antara etnik.
Sains dan teknologi juga memainkan peranan untuk meningkatkan hubungan etnik
kerana pembangunan ekonomi di Malaysia berasaskan sains dan teknologi termasuk
sektor perindustrian dan pembangunan bioteknologi. Dalam konteks ini, kerajaan
telah menetapkan bilangan pelajar dalam bidang sains dan teknologi dan sains
sosial adalah berdasarkan nisbah 60:40. Hal ini menunjukkan bilangan saintis
yang akan dilahirkan adalah terdiri daripada pelbagai etnik. Justeru, pihak
kerajaan dan sektor swasta memainkan peranan dalam usaha menyumbang dana bagi
meningkatkan penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan inovasi dan
seterusnya memacu pertubuhan ekonomi negara.
Dana dan geran daripada pihak swasta dan penubuhan institusi tertentu seperti
Koridor Raya Multimedia (MSC), Akademi Sains Negara dan pelbagai lagi merupakan
penjana kepada pembangunan ekonomi negara. Justeru, sains dan teknologi
memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi negara. Apabila pembangunan ekonomi
negara berkembang pesat, kestabilan politik dapat diwujudkan dan kesannya dapat
menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara untuk memacu pertumbuhan
ekonomi. Keadaan ini akan memberi banyak peluang pekerjaan tanpa mengira
golongan etnik. Hasilnya taraf hidup rakyat akan meningkat, jurang ekonomi
antara etnik dapat dirapatkan dan akhirnya akan wujud keharmonian rakyat di
Malaysia.
Sejajar dengan hasrat dan matlamat kerajaan untuk memupuk perpaduan dalam
masyarakat, Multinational Corporation (MNC) turut memainkan peranan ke arah
kesejahteraan masyarakat dengan cara menaja aktiviti yang memupuk perpaduan
dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik. Antara syarikat tersebut ialah YTL
Corporation, Lion Group, Maxis dan Berjaya Group. Syarikat berkenaan sering
menganjurkan aktiviti kemasyarakatan melibatkan pelbagai etnik melalui penajaan
dalam bidang pendidikan, penjagaan alam sekitar, kebajikan.
Hari keluarga atau dikenali sebagai Corporate Social Responsibility (CSR).
Antara matlamat utama syarikat MNC ini adalah untuk memberi peluang kepada
golongan sasar terutamanya masyarakat luar bandar yang rendah tahap kehidupan
mereka supaya dapat menikmati bantuan menerusi program CSR ini. Tanggungjawab
sosial yang diberikan dapat membantu kerajaan memperbaiki kualiti kehidupan
dalam kalangan masyarakat yang memerlukan tanpa mengira batas etnik di seluruh
pelosok negara. Di samping itu, generasi muda terutamanya para pelajar pelbagai
etnik ialah golongan penting kepada syarikat MNC kerana program dan aktiviti
anjuran CSR melibatkan pemberian dana bantuan berbentuk biasiswa kepada mereka
yang cemerlang untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Golongan warga emas juga turut didekati oleh pihak MNC dengan menyalurkan
sumbangan untuk meringankan sedikit tanggungan oleh pihak tertentu dan sebagai
mengingati jasa dan bakti mereka kepada masyarakat dan negara.
5.0 Rumusan
Setiap golongan etnik di Malaysia mempunyai jati dirinya sendiri dan diamalkan
mengikut etnik masing-masing. Kepelbagaian jati diri ini merupakan satu
keunikan yang tidak sewajarnya dicerobohi. Usaha ke arah meraikan kepelbagaian
yang sedia ada perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat demi mewujudkan
keharmonian hubungan antara etnik.Usaha ke arah mewujudkan integrasi etnik di
Malaysia perlu melibatkan pelbagai pihak dan tidak seharusnya diserahkan kepada
pihak kerajaan semata-mata. Kerajaan dengan pelaksanaan pelbagai dasarnya perlu
disokong oleh badan-badan bukan kerajaan dan juga pihak swasta bagi memastikan
hubungan etnik sentiasa berada dalam keadaan harmoni. Penglibatan semua pihak
mampu menjayakan usaha ke arah meneratkan hubungan tersebut.
[R1]Definisi
No comments:
Post a Comment