iSU PULAU BATU
PUTEH
Keputusan ICJ Jadi Iktibar Isu
Tuntutan Kedaulatan Wilayah Negara
PENANTIAN
selama hampir 28 tahun akhirnya sampai ke penghujung. Isu yang sudah lama
menjadi 'duri dalam daging' dalam hubungan diplomatik antara dua negara
berjiran ini berjaya diselesaikan melalui proses undang-undang antarabangsa.
Semalam,
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, memutuskan bahawa
kedaulatan Pulau Batu Puteh yang terletak di perairan luar pantai Johor adalah
milik Singapura dengan keputusan majoriti 12:4.
Batuan Tengah (Middle Rocks) pula diputuskan sah milik Malaysia dengan
keputusan majoriti 15:1. Bagi Tubir Selatan (South Ledge), keputusan yang
diberikan adalah agak kompleks iaitu kedaulatannya terletak di bawah wilayah di
mana ia terletak. Apakah implikasi yang akan dibawa oleh keputusan ICJ ini?
Pada 17 April
2008, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan rakan sejawatnya dari
Singapura, George Yeo, bersetuju untuk menerima apa saja keputusan ICJ tanpa
menjejaskan hubungan dua hala kedua-dua negara.
Persetujuan
juga dicapai untuk menubuhkan satu jawatankuasa teknikal di antara Malaysia dan
Singapura bagi menentukan langkah yang perlu diambil hasil daripada keputusan
itu. Ini kerana keputusan ICJ ini akan menyebabkan beberapa perubahan, termasuk
dari segi sempadan perairan, pelantar benua dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE)
Malaysia.
Ini bukan kali
pertama Malaysia berurusan dengan ICJ untuk menyelesaikan isu pertelingkahan
kedaulatan wilayah. Tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia terhadap
Pulau Ligitan dan Sipadan di bawa ke ICJ dan pada 2002, ICJ membuat keputusan
berpihak kepada Malaysia.
Selain itu,
Malaysia juga membawa isu penambakan tanah oleh Singapura ke Tribunal
Antarabangsa Undang-Undang Laut (ITLOS). Pada 2003 tribunal itu mengarahkan
Singapura untuk berhenti daripada melakukan aktiviti yang boleh memberi kesan
kepada kedaulatan wilayah Malaysia dan merosakkan kehidupan marin di kawasan
terbabit.
Keputusan
kedua-dua prosiding di atas berpihak kepada Malaysia hasil persediaan rapi
pasukan undang-undang Malaysia dengan mengemukakan hujah yang bernas, kuat dan
meyakinkan.
Persiapan
Malaysia untuk kes tuntutan Pulau Batu Puteh bermula sejak hampir 30 tahun
dulu. Penyelidikan berhubung kedaulatan Malaysia ke atas pulau itu mula
dilaksanakan ketika persediaan Peta Baru Malaysia 1979.
Kerja
penyelidikan dilakukan di Malaysia dan di serata dunia, termasuk beberapa
tempat di Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Perak, Singapura, Indonesia, India,
United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Portugal dan Belanda.
Usaha
penyelidikan dan pengumpulan bahan bukti dilakukan berterusan oleh kira-kira 55
pegawai daripada 24 agensi kerajaan seperti Kementerian Luar Negeri,
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Pertahanan dan Pejabat
Peguam Negara, penyelidik yang dilantik dan pakar dalam bidang tertentu dari
tiga institusi pengajian tinggi tempatan seperti Universiti Teknologi Mara,
Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.
Khidmat
penasihat undang-undang antarabangsa yang terkemuka seperti Sir Datuk Elihu
Lauterpacht QC dan Datuk James Crawford dari Universiti Cambridge dan Datuk
Nicolaas Jan Schrijver dari Universiti Leiden juga di gunakan.
Ketiga-tiga
individu ini juga terbabit dalam prosiding kes negara di ICJ untuk Sipadan dan
Ligitan dan juga di ITLOS bagi kes Penambakan Tanah Singapura.
Dalam kes
Pulau Batu Puteh, delegasi Malaysia diketuai Tan Sri Abdul Kadir Mohamad dan
pasukan undang-undang Malaysia yang diketuai Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani
Patail, mempamerkan komitmen tinggi dan prestasi membanggakan.
Mereka
memastikan hujahan kes negara adalah sentiasa teratur dan padat, mudah difahami
oleh hakim dan sejauh mana yang mungkin memastikan tiada ruang langsung bagi
Singapura untuk menyangkal apa yang dihujahkan oleh Malaysia sepanjang
berlangsungnya perbicaraan iaitu daripada 6 hingga 23 November 2007.
Di bawah
undang-undang antarabangsa, isu kedaulatan wilayah adalah satu isu kompleks dan
membabitkan pemakaian pelbagai prinsip undang-undang. Singapura menyandarkan
tuntutan mereka kepada pendudukan secara sah oleh pihak British apabila mereka
membina rumah api Horsburgh di atas Pulau Batu Puteh yang di katakan terra
nullius (tidak bertuan) sebelum 1847.
Malaysia
dikatakan gagal mengemukakan bukti kukuh yang menunjukkan kedaulatan Johor ke
atas Pulau Batu Puteh. Kegagalan Malaysia dalam mengemukakan surat meminta
kebenaran daripada pihak British kepada kerajaan Johor juga dibangkitkan oleh
Singapura dalam hujah mereka.
Singapura juga
mengemukakan bukti bagi menunjukkan kuasa pentadbiran dan undang-undangnya di
Pulau Batu Puteh dan perairan sekitarnya melalui pelbagai aktiviti seperti
kawalan akses dan lawatan ke Pulau Batu Puteh.
Sementara itu,
Tentera Laut Singapura juga kerap melakukan rondaan di kawasan perairan Pulau
Batu Puteh. Singapura juga mendakwa Malaysia tidak menjalankan aktiviti
pentadbiran dan undang-undang ke atas Pulau Batu Puteh dan tidak pernah
membantah aktiviti pentadbiran dan undang-undang yang dilakukan oleh Singapura.
Singapura
membandingkan tindakan Malaysia di Pulau Pisang di mana Singapura diminta
menurunkan benderanya di Pulau Pisang, tetapi tidak berbuat demikian di Pulau
Batu Puteh. Tegas Singapura ini membawa makna Malaysia tidak pernah mengambil
kira Pulau Batu Puteh sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
Mereka juga
menegaskan bahawa Surat Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang
menyatakan Johor tidak menuntut hak milik Pedra Branca (bahasa Portugal untuk
'Batu Puteh), adalah sah memandangkan ia di tulis dalam kapasiti rasminya dan
Johor pada ketika itu adalah sebuah negeri yang berdaulat.
Keputusan ICJ
mengesahkan Pulau Batu Puteh milik Kerajaan Johor jika dilihat dari aspek
sejarahnya dan juga pemakaian undang-undang antarabangsa berdasarkan kepada kes
seperti Eastern Greenland dan juga kes Island of Palmas.
Kedaulatan
Pulau Batu Puteh pada asalnya terletak pada kerajaan Johor. Di samping itu, ICJ
juga mengiktiraf dan mengambil kira peranan orang laut yang menggunakan pulau
berkenaan untuk aktiviti ekonomi mereka serta pertalian mereka dengan Sultan
Johor. Mereka dilihat sebagai rakyat naungan kerajaan Sultan Johor. ICJ menolak
dakwaan Singapura yang mengatakan Pulau Batu Puteh adalah terra nullius
(wilayah tidak bertuan).
Bagaimanapun,
ICJ mengambil kira dan memberikan fokus utama di dalam penghakiman mereka
kepada surat daripada Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor bertarikh 21 September
1953. Surat yang mengatakan Johor tidak menuntut hak milik Pedra Branca dilihat
oleh ICJ sebagai Johor melepaskan kedaulatannya ke atas Pulau Batu Puteh kepada
kerajaan British. Ini bermakna sejak 1953 Johor sudah kehilangan Pulau Batu
Puteh.
Penghakiman
ICJ juga menyentuh isu enam peta rasmi diterbitkan Malaysia sekitar 1962 hingga
1974 dengan Pulau Batu Puteh dilabel sebagai milik Singapura. Mengikut ICJ, ini
secara langsung memperkukuhkan tuntutan Singapura terhadap Pulau Batu Puteh
kerana Singapura sendiri tidak pernah menerbitkan sebarang peta yang merujuk
Pulau Batu Puteh sebagai wilayah Malaysia.
Di samping
itu, penghakiman ICJ juga memberi penekanan kepada pelbagai aktiviti yang
menunjukkan kuasa pentadbiran dan undang-undang Singapura di Pulau Batu Puteh
dan ia adalah antara faktor penting mengapa penghakiman ICJ terhadap Pulau Batu
Puteh berpihak kepada Singapura.
Penguatkuasaan
Tentera Laut Singapura di kawasan perairan Pulau Batu Puteh dan siasatan yang
dijalankan oleh Kerajaan Singapura ke atas insiden kemalangan kapal laut adalah
antara aktiviti yang menunjukkan kawalan eksklusif dan juga kedaulatan Singapura
ke atas Pulau Batu Puteh.
Bagaimanapun,
penghakiman ICJ terhadap Pulau Batu Puteh yang berpihak kepada Singapura ini
tidak meliputi Batuan Tengah dan Tubir Selatan kerana aktiviti Singapura hanya
terhad kepada Pulau Batu Puteh. Status Batuan Tengah kekal mengikut sejarah
bersama dengan Kerajaan Johor.
Daripada
perspektif undang-undang antarabangsa, penghakiman ICJ adalah muktamad dan
mengikat kedua-dua Malaysia dan Singapura. Malaysia perlulah akur dengan
keputusan ICJ yang memihak kepada Singapura selaras dengan Perjanjian Khas
ditandatangani pada 6 Februari 2003 oleh Menteri Luar masing-masing dan juga
Artikel 60 Statut ICJ.
Keperluan
Malaysia menghormati penghakiman ICJ juga dituntut oleh Artikel 94 Piagam
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kegagalan Malaysia untuk akur kepada
keputusan ICJ akan membolehkan Singapura membawa perkara ini ke Majlis
Keselamatan PBB untuk tindakan selajutnya.
Bagaimanapun,
menurut Artikel 61 Statut ICJ jika berlaku penemuan fakta yang boleh menjadi
faktor penentu, ketika penghakiman dibuat, ia tidak diketahui oleh mahkamah,
permohonan untuk semakan semula kes itu boleh dilakukan.
Syarat untuk
mengguna pakai Artikel 61 ini adalah ketidaktahuan fakta itu tidak berpunca
daripada kecuaian dan ia tidak diketahui oleh pihak yang memohon semakan semula
itu. Permohonan ini juga perlulah dibuat dalam masa enam bulan daripada
penemuan fakta baru itu dan dalam tempoh 10 tahun mulai tarikh penghakiman.
Walau apa juga
keputusan ICJ, perlulah diingati bahawa ia berdasarkan lunas undang-undang
antarabangsa yang dipersetujui kedua belah pihak. Ia adalah satu contoh yang
baik bagaimana pertelingkahan antara dua negara boleh diselesaikan secara aman
melalui proses perundangan apabila segala usaha untuk menyelesaikan isu ini
melalui rundingan gagal dan buntu.
Rakyat amnya
dan Kerajaan Malaysia khususnya perlu menerima keputusan ini dengan positif dan
mengambil iktibar daripada pengalaman tuntutan Pulau Batu Puteh ini supaya
kedaulatan wilayah negara terus terpelihara.
Prof Dr Rahmat Mohamad ialah Timbalan
Naib Canselor, Universiti Teknologi Mara
Pulau Batu Puteh: Usah Salahkan
Sesiapa
KUALA LUMPUR:
Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kelmarin yang memberi hak
kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, tidak harus dipolitikkan oleh
mana-mana pihak.
Naib Presiden
Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata semua pihak juga diminta tidak
menyalahkan sesiapa atas keputusan itu dan menerimanya dengan hati terbuka
walaupun ia mengecewakan.
"Saya
tidak rasa kita menyalahkan sesiapa... ia sudah diputuskan mahkamah tetapi kita
akan pastikan sebarang keputusan yang dilakukan negara jiran kelak tidak akan
menggugat kepentingan rakyat kita terutama di Johor," katanya kepada
pemberita selepas Majlis Taklimat Tertutup "Tata Etika Ahli Umno"
dengan Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, di sini, semalam.
Beliau yang
juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, Singapura juga
harus mengambil kira bahawa kawasan itu sudah sebati dengan rakyat negara ini
terutama di Johor.
"Kita
harap mereka mempertimbangkan dan tidak mengancam rakyat kita kerana ia pernah
menjadi sebahagian wilayah Malaysia," katanya.
Ketua Pemuda
Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata walaupun kecewa dengan keputusan
ICJ itu, rakyat Johor khususnya, harus bertenang dan menerima hakikat keputusan
itu muktamad dan tiada rayuan.
"Kita
sudah pun bersetuju dengan keputusan muktamad mahkamah itu dan kita mahukan
kestabilan serantau terutama di kawasan tanah selatan ini berkekalan.
"Saya
harap Pemuda Umno Johor melihat secara positif pembentukan jawatankuasa dua
negara mengenai isu ini tetapi pada masa sama saya mahu juga mereka memantau
pelaksanaan kerjasama jawatankuasa yang ditubuhkan itu supaya ia dapat memberi
kebaikan kepada semua pihak," katanya.
Beliau yang juga
Menteri Pelajaran berjanji memantau secara dekat kaedah yang dilaksanakan
jawatankuasa teknikal bersama Malaysia-Singapura untuk menangani isu perairan
sekitar Pulau Batu Puteh dalam memastikan ia bukan saja menjaga hubungan
kedua-dua negara tetapi kepentingan rakyat Johor terutama nelayan.
Selain itu,
beliau berkata, jawatankuasa terbabit juga harus memberi perhatian khusus isu
laluan kapal serta ruang udara yang selama ini membelenggu kedua-dua negara
kerana ia belum mencapai keputusan di mahkamah.
Kita
Terlepas Batu Puteh Kerana Cuai
PELBAGAI
reaksi diberikan banyak pihak selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di
The Hague, Belanda, memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan
terhadap Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), manakala Malaysia berhak terhadap
Batuan Tengah (Middle Rocks). Kedudukan Tubir Selatan (South Ledge) pula
bergantung kepada persempadanan perairan negara yang menguasainya. Ada pihak
melihat keputusan ICJ lebih menyebelahi Singapura dan merugikan Malaysia.
Bagaimanapun, ada
yang berpendapat negara tidak tewas sepenuhnya. Bagi menilai keputusan di ICJ
secara menyeluruh, wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin dan Rohaniza
Idris, mendapatkan penjelasan pakar sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM), Prof Dr Nik Anuar Nik Mahmud, yang menganggotai pasukan Malaysia di The
Hague dan penganalisis politik, Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman, juga dari UKM.
Adakah
keputusan ICJ berhubung hak kedaulatan Pulau Batu Puteh yang memihak kepada
Singapura sudah dijangka berdasarkan bukti dan penghujahan?
Dalam kes
Pulau Batu Puteh, saya sudah menjangka kita akan menghadapi masalah untuk
mempertahankannya sejak awal lagi.
Pertama sekali kerana ialah kelemahan kita dari segi pentadbiran dan surat
Setiausaha Kerajaan Negeri pada 1953. Dari segi sejarah, pulau itu dan pulau
lain sebenarnya adalah milik Johor. Mahkamah memperakui hak itu bersandarkan
Perjanjian 1819, Mac 1824, Perjanjian Ogos 1824, Perjanjian 1927 dan
sebagainya.
Bagaimanapun
pada 1953, kerajaan Johor apabila ditanya oleh pihak Singapura mengenai status
pulau itu menjawab bahawa pulau itu bukan milik negeri itu. Ini yang
menyebabkan mahkamah menjadikan surat itu sebagai hujah untuk mengesahkan
bahawa Johor sudah menyerahkan hak kedaulatan pulau itu kepada Singapura.
Adakah
penghakiman ini adalah keputusan sama menang atau hanya menguntungkan sebelah
pihak?
Keputusan itu
adalah sesuatu yang tidak dijangka. Boleh saya katakan bahawa keputusan itu
sebagai 'Blessing in Disguise' (perkara baik yang pada awalnya tidak
diketahui). Kita kehilangan Pulau Batu Puteh, tetapi menang di Batuan Tengah.
Ia membolehkan
nelayan Johor menangkap ikan di kawasan sekitar pulau itu yang sebelum ini
adalah kawasan non grata (tidak diterima atau dialu-alukan) kepada nelayan
kita.
Apakah faktor
penting dalam penghakiman ICJ?
Mahkamah
mengiktiraf Pulau Batu Puteh dan semua pulau di sini sebagai milik Johor. Dalam
kes Pulau Batu Puteh, kita kalah kerana kecuaian kerajaan Johor dulu yang
membiarkan Singapura mengurus rumah api dan pulau itu.
Kemudian pada
1953, tanpa berfikir panjang, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor mengesahkan
kepada Singapura bahawa Pulau Batu Puteh bukan milik Johor. Pengesahan itu
dibuat secara hitam putih.
Kecuaian ini
menyebabkan kita kehilangan pulau itu. Pengajaran penting daripada penghakiman
ini kepada setiap pihak ialah belajarlah daripada sejarah. Kita perlu
berhati-hati apabila membuat keputusan agar generasi akan datang tidak
menanggung kerugian penderitaan.
Siasat betul-betul
asal-usul sesuatu perkara dan tidak membuat keputusan dalam keadaan
tergesa-gesa.
Prof sebagai
sebahagian anggota pasukan Malaysia. Bagaimana situasi di kalangan anggota
pasukan selepas ICJ membuat keputusan?
Saya nampak
semua anggota delegasi Malaysia gembira dengan keputusan itu. Sebab itu, saya
katakan keputusan mahkamah adalah `Blessing in Disguise'.
Apakah kesan
penghakiman kes ini terhadap pelbagai aspek membabitkan kedua-dua negara
seperti persempadanan?
Seperti saya
katakan, keputusan ini adalah kejayaan yang besar ertinya kepada kita.
Singapura terpaksa mengakui bahawa kawasan yang dipertikaikan itu juga hak
Malaysia. Nelayan kita bebas untuk menangkap ikan di kawasan itu. Dulu nelayan
dihalang dan diugut, malah ditangkap.
Sekarang mahkamah
membebaskan kepungan itu. Sudah tentu isu sempadan antara Malaysia dan
Singapura berikutan keputusan itu akan dikaji oleh Jawatankuasa Teknikal
kedua-dua kerajaan.
Adakah
sebarang pulau atau wilayah lain yang berpotensi menimbulkan pertikaian hak
kedaulatan antara Malaysia dan negara jiran pada masa depan?
Pertikaian di
Kepulauan Spratly masih belum selesai. Saya percaya negara yang terbabit dalam
pertikaian gugusan pulau ini akan menyelesaikannya secara damai melalui proses
undang-undang dan tolak ansur demi kestabilan serantau dan kesejahteraan
penduduk di rantau ini.
Apakah merujuk
pertikaian membabitkan wilayah atau sempadan ke ICJ adalah suatu perkembangan
yang positif atau sebaliknya dalam soal perhubungan antara Malaysia dan negara
jiran?
Ini adalah
suatu tindakan bijak oleh pemimpin kedua-dua negara untuk mengelakkan berlaku
konfrontasi bersenjata yang boleh menjejaskan keselamatan serantau.
Akhir sekali,
saya ingin mengucapkan syabas kepada pasukan Malaysia atas kejayaan di ICJ.
Kita terlepas Pulau Batu Puteh, tetapi mendapat Batuan Tengah (Middle Rocks).
Sesungguhnya keputusan itu suatu 'Blessing in Disguise'.
Apakah kesan
penghakiman ICJ yang memberikan Pulau Batu Puteh kepada Singapura dan Batuan
Tengah kepada Malaysia, manakala Tubir Selatan kepada negara yang memiliki
perairannya kepada hubungan antara Malaysia dan Singapura?
Kesan hubungan
antara dua negara adalah tidak ketara. Hubungan Malaysia dan Singapura selama
ini pun selalu pasang surut. Ada masa panas dan ada masa sangat harmoni. Isu ini
akan termasuk dalam pelbagai isu yang membuatkan hubungan pasang surut itu
seperti isu bekalan air, Tabung Simpanan Pekerja (CPF), Jambatan Indah dan
Tanjung Pagar.
Bagaimanapun,
jika dilihat dari aspek persempadanan negara dan hak perairan, ia sudah tentu
sedikit sebanyak kesan yang tidak memihak kepada Malaysia atau kita tidak
begitu senang. Pulau Batu Puteh kini menjadi milik Singapura sepenuhnya.
Sempadan
perairan keliling pulau itu juga menjadi milik republik itu. Jika membuat
penambakan tanah, pulau sebesar dua padang bola boleh menjadi 20 padang bola
dan sudah tentu boleh digunakan untuk pelbagai tujuan seperti pangkalan polis
marin atau tentera dan sebagainya mengikut kehendak dan kepentingan mereka.
Benarkah
keputusan itu adalah sama menang, sedangkan tumpuan utama dalam kes ini ialah
Pulau Batu Puteh dan bukan dua pulau lain yang lebih kecil?
Pandangan sama
menang dinyatakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Saya fikir
kenyataan diplomatik ini mudah difahami kerana beliau mengucapkannya sebagai
Menteri Luar dan bukan sebagai Dr Rais Yatim.
Beliau
memiliki tanggungjawab moral dan diplomatik serta mewakili rasmi negara ini vis
a vis (berdepan secara langsung) rakan sejawat dari Singapura. Bagaimanapun,
sudah tentu pandangan ini tidak dapat dikongsi sepenuhnya rakyat Malaysia.
Sekurang-kurangnya dari sudut sentimennya.
Pada saya sama
menang hanya berlaku jika Malaysia dan Singapura berebut pulau yang tidak
menjadi milik mana-mana pihak. Apabila ada dua dan diagih, setiap pihak dapat
satu, barulah dianggap sebagai sama menang, tetapi semua tahu bahawa pulau itu
milik Malaysia (dulu Johor) dan semua dokumen lengkap, sejarah juga
membuktikannya.
Malaysia tidak
membuat tuntutan, tetapi berusaha mengekalkan haknya. Singapura kemudian membuat
'tuntutan’ hasil usaha, perbelanjaan, komitmen dan sebagainya yang diberikan
terhadap pulau itu selama ini.
Tiba-tiba
keputusan memihak kepada Singapura dengan kelebihan ia menguruskan dan
mengendalikan pelbagai alat yang ada di pulau itu dan dibenarkan oleh Malaysia.
Tuntutannya berjaya. Ini yang menyebabkan saya berpandangan ia bukan keadaan
sama menang, tetapi terlepas sebuah pulau milik kita akibat kealpaan sendiri.
Kita lihat
juga analogi ini, umpama seorang ibu bapa yang ada banyak anak. Seorang anaknya
diberi kepada seorang lain untuk dipelihara walaupun dia menyatakan bukan untuk
selama-lama. Apabila sudah sampai satu peringkat umur, penjaga itu membawa ke
mahkamah menuntut hak penjagaan kekal terhadap anak itu.
Sudah tentu ia
menjadi satu kes yang panas. Ibu bapa asal akan kecewa dan berusaha untuk
mengekalkan haknya. Ia memberi semua dokumen bahawa itu adalah anaknya seperti
surat kelahiran, laporan hospital, bukti DNA, saksi bidan yang menyambut
anaknya dulu dan sebagainya.
Penjaga pula
akan memberi bukti seperti dia yang membesarkan anak itu. Surat tadika dan
sekolah, kos penjagaan, semua bil yang sudah dijelaskan bagi pemeliharaan,
kesihatan dan sebagainya. Mahkamah sudah tentu membuat keputusan demi
kepentingan kanak-kanak.
Apa lagi kalau
dokumen bapa asal memberi hak penjagaan itu wujud dan dapat ditunjuk di
mahkamah. Dalam kes seperti ini, saya berpendapat penjaga itu yang boleh
menang. Apa lagi kalau ibu bapa asal ada ramai anak dan tidak terpelihara
dengan baik.
Demikianlah
kes Pulau Batu Puteh itu, kita ada 10 peta bersejarah pun, ia hanya menjelaskan
keadaannya dulu. Sekarang tidak lagi. Ia dipelihara oleh siapa dan komitmen
yang ditunjukkan itu nyata dan tidak dapat dipersoalkan.
Malaysia
sebagai sebuah negara maritim mempunyai beberapa isu pertindihan tuntutan
dengan negara jiran seperti kepulauan Spratly di Laut China Selatan dan
perairan Ambalat di Laut Sulawesi. Bagaimana Dr melihat setiap kes tuntutan
berkenaan? Persaingan merebut sumber ekonomi, terutama minyak dan menguasai
jalan laut serta ketenteraan.
Dalam kes
Spratly, Malaysia memang membuat tuntutan. Saya tidak fikir (pendapat peribadi)
kita pernah mendudukinya atau ada kampung lama milik rakyat Malaysia di situ.
Cuma kita berasakan kepulauan itu berada dalam zon kita dan berhak membuat
tuntutan.
Perairan
Ambalat memang seperti berada antara Malaysia dan Indonesia. Ia juga perlu
dibawa ke pengadilan. Sudah tentu semua pulau ini penting bagi kita,
sekurang-kurangnya dari sudut kedaulatan, maruah dan sempadan kita. Selain itu,
dari sudut keluasan sempadan, sumber alam, perikanan dan sebagainya.
Ia menyulitkan
apabila kita berdepan jiran tetangga, bukan pihak lain yang asing. Apabila ia
juga menjadi tuntutan dengan jiran ini, kita terpaksa menghadapinya. Seharusnya
Batu Puteh menjadi pengajaran untuk tuntutan ini. Tidak semestinya bertindak
agresif seperti negara lain.
Apakah
keputusan penghakiman kes ini akan mendorong Malaysia atau negara lain terus
menggunakan pendekatan undang-undang untuk menyelesaikan isu persempadanan?
Malaysia bukan
negara yang mengamalkan dasar konfrontasi atau kekerasan. Sejak zaman
konfrontasi dengan Indonesia dulu, masalah pengganas komunis di sempadan
Thailand, isu Sabah dengan Filipina, Pulau Batu Puteh dan lain-lain, semuanya
dilalui dengan cara diplomatik dan perundangan.
Saya percaya
Malaysia akan menggunakan cara ini seterusnya kelak. Berdasarkan pengalaman kes
Batu Puteh dan Sipadan-Ligitan, saya percaya negara jiran juga akan menggunakan
kaedah ini. Cuma cara mendekatinya berbeza.
Ada negara
yang bertindak agresif dulu, meletakkan tentera, menghalau rakyat lain
mendekatinya dan kemudian baru bersetuju pergi ke Mahkamah Keadilan
Antarabangsa. Pendekatan Machiavellian seperti ini nampaknya membuahkan hasil
kepadanya dengan penggunaan tenteranya.
Apakah yang
mungkin berlaku jika negara yang terbabit dalam tuntutan bertindih tidak
memilih pergi ke ICJ?
Jika sesebuah
negara kuat dari segi ketenteraan dan mendapat sokongan kuasa besar, negara
begini akan mempunyai kelebihan. Negara ini akan mengekalkan dan sanggup
bertindak secara ketenteraan sekali gus merugikan negara yang lebih lemah dan
enggan bertindak cara ini.
Negara lain
akan terus mengecam, menggesa dan mendesak, tetapi sudah tentu ia tidak
menyelesaikan masalah. Banyak negara besar yang menguasai pulau kecil
menggunakan kekuatan tentera untuk mengekalkan pulau seperti Pulau Falklands.
Di kawasan
tuntutan bertindih yang berpotensi memiliki banyak sumber minyak, bolehkah
negara yang bersaing bekerjasama?
Idealnya
begitulah. Berkongsi usaha dan hasil, tetapi kita tidak hidup dalam dunia yang
ideal seperti itu. Apabila berada dalam kedudukan bertindih dan mengetahui
sumbernya lumayan, sudah tentu ia direbut oleh pihak yang mendekatinya.
Cuma kerjasama
yang diharapkan ialah untuk bersetuju menyelesaikan secara rundingan atau
membawa ke pengadilan antarabangsa. Kalau dapat berunding secara aman dan
mengambil keputusan secara sama menang, ini adalah lebih baik berbanding ke
mahkamah. Belanja pun banyak dapat dijimatkan dan hubungan dua hala dengan
negara berkenaan juga terus harmoni.
Pulau Batu
Puteh Sah Milik Singapura
KUALA LUMPUR:
Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura selama
28 tahun hari ini kini disahkan milik Singapura selepas ia diputuskan Mahkamah
Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda.
Keputusan ICJ
itu akan disampaikan oleh Naib Presiden Mahkamah itu, Hakim Awn Shawkat Al
Khasawneh yang juga Pemangku Presiden, tepat jam 5.50 petang.
Keputusan itu
disiarkan secara langsung oleh RTM1, mulai kira jam 4 petang ini.
Pulau Batu
Puteh atau Pedra Branca (bahasa Portugal untuk "Batu Putih") adalah
sebuah pulau tunggul sebesar dua padang bola sepak, yang terletak di luar
pantai tenggara Pengerang, Johor, Malaysia.
Luasnya 0.2
hektar, berbatu-batu dan kira-kira 12.8 km dari Pengerang dan 64 km ke timur
Singapura dan hanya 20 minit dengan bot laju dari Teluk Ramunia, Pengerang,
Johor.
Pertikaian
kedaulatan pulau itu antara isu kedua-dua negara yang berlarutan hampir 28
tahun.
Singapura
mendakwa Pulau Batu Puteh miliknya selepas pemetaan wilayah dibuat Malaysia
pada 1979.
Pada 24 Julai 2003, Malaysia dan
Singapura secara bersama memulakan proses perundangan bagi menyelesaikan
tuntutan Singapura melalui penyampaian secara rasmi kepada ICJ.
Malaysia Dan Singapura Janji Tidak
Timbulkan Masalah Hasil Keputusan Batu Puteh
KUALA LUMPUR:
Malaysia dan Singapura bersetuju untuk tidak menimbulkan sebarang angkara atau
masalah hubungan dua hala dalam menerima penghakiman Mahkamah Keadilaan Antarabangsa
pada Jumaat ini berhubung isu tuntutan Pulau Batu Puteh.
Menteri Luar,
Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini berkata ini bermakna sekiranya keputusan
memihak kepada Malaysia, Singapura akan terus berbaik sangka dan tidak
menimbulkan sebarang prejudis atau prasangka dan begitu juga sebaliknya.
"Kita
akan menghormati keputusan dan terus menjelmakan bibit persahabatan
antarabangsa dan kejiranan. Kita harus menerima ia sebagai satu yang biasa dan
dalam keadaan terbuka.
"Sehubungan
itu satu jawatankuasa teknikal sudah dipersetujui untuk diwujudkan dan
jawatankuasa itu akan merumus, mentadbir dan melaksanakan keputusan mengikut
lunas pentadbiran antarabangsa,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di
sini.
Rais berkata,
jawatankuasa berkenaan akan menentukan antara lainnya hal berkenaan siapa yang
harus berada di pulau itu selepas keputusan diambil dan juga soal kawasan
perikanan.
Sebelum itu
Rais memberi taklimat ringkas mengenai kes itu kepada Perdana Menteri Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Anggota Parlimen.
"Perdana
Menteri merasakan bahawa sebagai satu kes biasa, jika doa dan harapan negara
tak menjelma, ia seharusnya dihadapi dengan baik,” katanya.
Rais
menasihatkan rakyat menerima keputusan dengan baik dan tidak menimbulkan huru
hara atau mempengaruhi mana-mana pihak supaya tidak berbaik dengan Singapura.
Delegasi
Malaysia akan berlepas ke The Hague, Belanda, malam ini.
Pada jam 4
petang (waktu Malaysia) Jumaat ini, ICJ akan mengumumkan keputusannya siapakah
yang mempunyai hak kedaulatan terhadap pulau itu yang terletak 7.7 batu nautika
dari perairan Johor.
Perbicaraan
berlangsung dari 6 hingga 23 Nov tahun lalu.
Malaysia dan
Singapura sudah berikrar mematuhi keputusan ICJ itu dan keputusan mahkamah itu
adalah muktamad dan tidak ada rayuan boleh dibuat.