Sunday, June 6, 2021

KONSEP SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SEJARAH

1.0. KONSEP SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SEJARAH

 

Istilah Bahasa Melayu - asal, mula dan punca.

Istilah Bahasa Inggeris - source bermaksud a person, book or document that provides Information..

Perspektif Pendididikan Sumber Pengajaran dan Pembelajran Sejarah(SPPS)- sebarang Penerbitan, gambar, carta, objek, alat, radas, perkakas dan modul.


2.0.    JENIS- JENIS SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SEJARAH

Terdapat beberapa jenis sumber pengajaran dan pembelajaran yang boleh membantu guru dalam proses pengajaran. Kita dapat mengklasifikasikan jenis sumber tersebut kepada tiga iaitu bahan bercetak, bahan elektronik dan bahan maujud. Semua jenis sumber ini mempunyai ciri-ciri yang berbeza tetapi bertujuan mencapai hasil yang sama iaitu untuk memastikan semua murid memahami isi pelajaran dan mencapai objektif pembelajaran.

2.1     Bahan Bercetak

            Bahan bercetak boleh didefinisikan sebagai bahan yang mempunyai tulisan dan wujud secara fizikal. Bahan ini boleh disentuh dan dibaca secara terus. Ciri penting pada bahan bercetak ialah bahan tersebut mestilah dihasilkan melalui cetakan dan bukan hasil daripada tulisan tangan mana-mana individu. Kebiasaannya, bahan bercetak akan disimpan dalam rak yang terdapat di perpustakaan mahupun di arkib.

Menurut Azman Larut et.al (2005), bahan bercetak boleh terbahagi kepada buku dan bukan buku. Antara contoh bahan-bahan bercetak bagi buku ialah buku fiksyen yang terdiri kepada buku cerita bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, buku bukan fiksyen pula terdiri kepada buku Sejarah dan Geografi manakala rujukan pula terdiri kepada kamus, ensiklopedia, atlas dan buku teks (Rujuk Lampiran 1 untuk melihat contoh bahan bercetak). Kemudiaan, bagi bahan bercetak bukan buku ialah majalah, surat khabar dan risalah.

Dalam konteks pendidikan, bahan bercetak ini telah digunakan secara meluas dalam sumber pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru dan murid sendiri menggunakan buku teks sebagai rujukan utama mereka. Hal ini berikutan dengan kriteria yang terdapat pada bahan bercetak itu sendiri. Kos untuk membeli bahan bercetak ini murah dan mudah didapati dimana-mana. Selain itu, bahan bercetak turut senang dirujuk pada bila-bila masa sahaja.  

Kendatipun begitu, terdapat beberapa kekurangan yang ada pada bahan bercetak ini. Kebiasaannya bahan bercetak selalu didapati dalam bentuk buku yang tebal contohnya buku teks. Kekurangan ini menyukarkan bahan bercetak tersebut untuk dibawa kerana berat selain tidak boleh disunting. Kadangkala peredaran zaman turut menyebabkan isi kandungan buku tersebut tidak terkini dan ketinggalan. Hal ini kerana buku selalunya disunting terlebih dahulu kemudian dicetak dan seterusnya diedar yang mana mengambil masa lama untuk mengikut peredaran zaman. Seiring dengan perubahan itu, maka wujudlah penggunaan bahan elektronik bagi memperkembangkan lagi kotak pemikiran anak murid.

 

2. 2.     .Bahan Elektronik

          Menurut Noriati et. al (2009), bahan elektronik merupakan salah satu sumber pengajaran dan pembelajaran yang sering kali menarik perhatian murid. Bahan elektronik adalah teknologi dunia terkini dan dapat memberi banyak manfaat jika digunakan secara betul. Penggunaan sumber ini perlulah dikendalikan oleh guru yang berkemahiran menggunakan bahan elektronik tersebut secara terancang dan bersesuaian. Dengan itu, proses pengajaran dan pembelajaran dapat ditingkatkan secara cekap dan berkesan.

Antara contoh-contoh bahan elektronik ialah komputer, laptop, projektor LCD, radio kaset, OHP, televisyen, mikro filem dan lain-lain lagi.( Rujuk Lampiran 2 untuk melihat contoh bahan elektronik). Kebanyakan guru kerap menggunakan bahan ini kerana ianya banyak membantu mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bukan itu sahaja, murid-murid juga mudah tertarik dengan grafik yang ada pada bahan ini dan sekaligus memudahkan mereka mengikuti pelajaran yang ingin disampaikan.

Penggunaan bahan elektronik ini efektif kerana guru boleh membuat pembetulan sekiranya berlaku kesilapan pada slaid yang ingin disampaikan. Menurut Norasiah et.al (2009), bahkan seseorang guru tersebut turut boleh memasukkan pelbagai grafik seperti video dan gambar dalam persembahan power point mereka. Secara tidak langsung, murid akan fokus terhadap pembelajaran guru tadi. Rentetan daripada itu, amat penting untuk guru tersebut tersebut terus memantau pergerakan murid-murid ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Namun begitu, terdapat juga kelemahan yang ada pada bahan bercetak ini. Khususnya untuk kawasan pedalaman, tiadanya bekalan elektrik menyebabkan bahan ini sukar untuk berfungsi. Kadangkala apabila bekalan elektrik terputus, guru harus sentiasa bersedia untuk menggunakan kaedah kedua iaitu secara manual. Kemahiran yang tinggi juga amat diperlukan untuk mengendalikan bahan elektronik ini. Sekiranya terdapat guru yang kurang mahir teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) amat sukar untuk mereka menghasilkan persembahan grafik yang mampu menarik minat murid.

 

2.3.      Bahan Maujud

            Menurut Sufean Hussin et al (2005), bahan maujud merupakan bahan konkrit atau bahan sebenar yang boleh disentuh dan dipegang. Manakala Mohktar Affandi Amran, Poh Swee Hiang dan Tajuddin Hassan (1996), menyatakan bahan maujud adalah bahan yang kelihatan nyata dan benar. Penggunaan bahan maujud merupakan salah satu kaedah yang baik untuk menarik minat pelajar kerana bahan maujud ini memang wujud dan jelas serta mempunyai sifat-sifat yang boleh dikenalpasti oleh deria-deria kita iaitu mata, telinga, lidah, hidung dan kulit.

Terdapat tiga jenis bahan maujud iaitu realia, diorama dan model (Rujuk Lampiran 3 untuk melihat contoh bahan maujud). Realia merupakan bahan sebenar yang mudah didapati dan selamat digunakan. Realia digunakan untuk membantu pengajaran pendedahan atau ekpositori. Contoh relia ialah batuan, tumbuhan, bahan awet basah dan kering. Diorama pula sistem pameran yang menggabungkan latar depan tiga dimensi dengan latar belakang dua dimensi. Kombinasi latar depan dan belakang dapat menghasilkan kesan realistik yang tinggi. Diorama digunakan untuk mengajar sejarah, agama dan drama. Jenis bahan maujud iaitu model terdiri daripada model keratan, model pepejal dan model keratan.

Kelebihan yang terdapat pada bahan maujud ini adalah penglibatan murid secara langsung dengan penggunaan bahan maujud ini menjadikan mereka aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Murid turut dapat membuat interpretasi sejarah berdasarkan bahan maujud tersebut. Ciri bahan maujud tersebut yang bersifat realistik turut menggera murid untuk meneroka idea yang kompleks dan abstrak selaras dengan asas Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) yang harus diaplikasikan oleh murid. 

Walaupun begitu, setiap sumber pengajaran dan pembelajaran ada kelemahannya tidak terkecuali sumber bahan maujud. Para guru sukar untuk memperolehi bahan untuk menghasilkan bahan maujud tadi. Kesukaran ini sering berlaku kepada guru yang berada di pedalaman. Mereka terpaksa keluar ke bandar bagi membeli bahan untuk menghasilkan bahan maujud ini. Terdapat juga sesetengah bahan maujud yang mempunyai kos yang tinggi. Reka bentuk bahan maujud yang besar turut menyukarkan guru untuk membawa bahan tersebut.

 

3.0 KEPENTINGAN MENGGUNAKAN SUMBER PENGARAN DAN PEMBELAJARAN SEJARAH

Di dalam merancang pengajaran dan pembelajaran, tidak lengkap sekiranya seseorang guru Sejarah tersebut hanya menggunakan kaedah “chalk and talk” sahaja. Kaedah tersebut cuma mendatangkan impak yang negatif sehingga murid-murid semakin tidak meminati subjek Sejarah yang selalunya dianggap membosankan. Oleh itu, kita akan melihat signifikan penggunaan sumber bahan bercetak, bahan elektronik dan bahan maujud dalam pengaran dan pembelajaran Sejarah.


3.     3.1. Meransang Pemikiran

Kepentingan penggunaan sumber bahan pengajaran dan pembelajaran yang pertama adalah meransang pemikiran murid. Menurut Sufean Hussin (2005), penggunaan sumber bahan pengajaran dan pembelajaran amat perlu kerana melalui bahan tersebut, pembelajaran murid akan jauh lebih bermakna berbanding dengan proses pembelajaran yang berlangsung tanpa sumber pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana penggunaan sumber akan meransang setiap aspek perkembangan murid yang bukan sahaja merangkumi kognitif murid malah bahasa, komunikasi dan fizikal murid.  

       Contohnya, seorang guru Sejarah boleh mengajar tajuk berkaitan dengan Zaman Air Batu dengan membuat diorama orang zaman batu sendiri. Penggunaan sumber bahan maujud seperti bahan bantu mengajar (BBM) akan dapat membantu mereka membuat persepsi berdasarkan apa yang telah dilihat secara realiti dan  bukan satu persepsi atas dasar andaian sahaja. Bahkan murid turut akan lebih tertarik untuk mempelajari tajuk tersebut sekiranya dia dapat melihat, mendengar atau menyentuh objek yang dipelajari tadi.

       Jelaslah bahawa bahan ransangan seperti sumber maujud iaitu diorama ini tadi akan membuat murid dapat memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam lagi. Mereka dapat mengaplikasikan kemahiran pembelajaran sejarah iaitu kemahiran kreatif dan inovatif tentang segala aspek kehidupan manusia silam dan kini (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2013). Hasilnya, mereka akan dapat mengeluarkan idea yang bernas dan bermakna.


3. 2   Menginterpretasi Maklumat Daripada Peristiwa Sejarah

    Signifikan penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran yang seterusnya ialah murid dapat menginterpretasi maklumat daripada peristiwa Sejarah. Menurut Noresah (2005), interpretasi merujuk kepada tafsiran. Jadi, interpretasi disini adalah menafsir atau menganalisis maklumat daripada sumber sejarah. Tafsiran banyak membantu murid dalam meneroka bukti dan membentuk perasaan empati mereka terhadap sesuatu peristiwa bersejarah.

Guru Sejarah boleh menggunakan sumber bahan elektronik seperti tayangan video semasa mengajar tajuk berkaitan dengan Parameswara sebagai pengasas Kesultanan Melayu Melaka. Tayangan peristiwa dan pemandangan yang sebenar akan membolehkan murid-murid tahu tentang peristiwa-peristiwa tersebut dengan lebih dekat dan jelas. Cabang fasa kemahiran kreatif dan inovatif iaitu fasa imaginasi turut dapat dicapai apabila murid berfikir di luar konteks buku teks. Ini kerana mereka mendapat maklumat yang lebih lengkap lagi melalui tayangan video tadi berbanding penggunaan bahan bercetak iaitu buku teks mengenai pengembaraan Parameswara dari Palembang, Temasik, Muar dan akhirnya Melaka. 

Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) murid mengenai elemen asas sejarah iaitu tokoh, tempat, peristiwa, tarikh/ masa turut tercapai apabila murid membuat interpretasi melalui ketokohan Parameswara ini. Menurut Wan Zah Wan Ali (2000), murid bukan sekadar membuat analisis terhadap fakta-fakta yang diperolehi malah membuka ruang bagi mereka untuk membuat tafsiran baru terhadap permasalahan sejarah. Dapatlah disimpulkan sumber pengajaran dan pembelajaran seperti bahan elektronik ini mampu membawa murid menginterpretasi pelbagai peristiwa sejarah.


3.3     Menarik Minat Terhadap Mata Pelajaran Sejarah

                Menurut Abdul Razaq dan Isjoni (2009), seorang guru akan dianggap berjaya sekiranya mampu menarik perhatian murid terhadap pelajaran yang diajar olehnya. Jadi, penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran sekali lagi sangat memainkan peranan penting bagi menarik minat murid terhadap mata pelajaran Sejarah.

            Sehubungan itu, guru sejarah haruslah sentiasa kreatif dalam mengolah sumber PdP yang sentiasa memikat hati murid-muridnya. Sebagai contoh, guru dapat membawa bahan maujud seperti baju Melayu, tengkolok dan pakaian tradisional dalam mengajar tajuk berkaitan Kesultanan Melayu Melaka ataupun budaya masyrakat di Malaysia. Persembahan tersebut pasti akan membuat murid berasa kagum dan sedikit sebanyak menarik minat mereka terhadap mata pelajaran sejak bermula dari sekolah rendah lagi.

            Seterusnya, seseorang guru sejarah juga hendaklah memulakan pengajaran dengan menyediakan set induksi yang dapat menarik perhatian murid kepada guru dan pengajarannya. Jadi, guru boleh membawa sumber bahan bercetak seperti gambar-gambar bangunan lama bagi set induksi tersebut. Semasa fasa perkembangan pula, guru Sejarah boleh menggunakan slaid powerpoint agar dapat mempersembahkan maklumat yang teratur dengan menggunakan sumber bahan elektronik yang memudahkan murid mengikuti pengajaran dengan berkesan (Aszoura Muhamed Salleh, 2007).

            Tuntasnya, seorang guru sejarah perlu peka terhadap Teori Kecerdasan Pelbagai (TKP) yang terdapat pada diri setiap murid agar dapat memudahkan beliau mengenalpasti tahap kebolehan mereka. Terdapat 8 jenis TKP iaitu verbal-linguistik, logik-matematik, visual-ruang, naturalis, kinestetik, muzik, interpersonal dan intrapersonal (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2001). Setelah mengetahui kecerdasan mereka, guru boleh mempelbagaikan sumber pengajaran dan pembelajaran bagi menarik minat murid tehadap subjek Sejarah.


3.4       Meningkatkan Daya Ingatan Terhadap Fakta Sejarah

            Mata pelajaran Sejarah turut seringkali dikaitkan dengan menghafal fakta yang terdapat di dalam sesebuah buku. Jadi, jenis sumber pengajaran dan pembelajaran yang digunakan oleh seorang guru akan menentukan tahap dalam meningkatkan daya ingatan terhadap fakta Sejarah yang dipelajari pada hari tersebut dan seterusnya kebolehupayaan murid menghuraikan semula fakta sejarah yang telah dipelajari.

            Memandangkan mata pelajaran Sejarah sering dianggap susah, guru dapat menggunakan sumber PdP seperti radio dan kaset ataupun CD semasa mengajar murid berkaitan dengan tajuk Identiti Negara Kita dengan membawa murid menyanyikan lagu Jalur Gemilang. Secara tidak langsung, murid telah mampu mencapai standard pembelajaran 9.2.3, Sejarah Tahun 5 iaitu menyatakan warna dan lambang pada bendera kebangsaan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2014). Lirik yang terdapat pada lagu tersebut mudah diikuti dan sentiasa berligat di minda murid apabila dinyanyikan.

            Selain itu, guru juga dapat mengedarkan bahan bercetak seperti risalah yang di “bold”kan atau diwarnakan untuk memudahkan mengingati fakta-fakta sejarah yang penting. Cara tersebut kebanyakannya akan membantu murid meningkatkan lagi ingatan mereka terhadap isi mata pelajaran Sejarah yang dipelajari. Nota tersebut turut dapat digunakan untuk tujuan rujukan pada masa akan datang. Jelaslah bahawa cara guru tersebut dalam mengaplikasikan sumber pengajaran dan pembelajaran mampu membantu murid menunjukkan kefahaman terhadap fakta Sejarah yang telah dipelajarinya.

 

TAJUK PERBINCANGAN 

Berdasarkan pengetahuan dan pembacaan anda, bincangkan tentang sumber pengajaran dan pembelajaran Sejarah.

Panduan Jawapan

1.Maksud /definisi

2.Konsep Sumber Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah

3.Kepentingan sumber pengajaran dan pembelajaran Sejarah.

4.Rujukan

No comments:

Post a Comment

INTERNET SEBAGAI SUMBER PENGAJARAN

5 .0     I nt e rn e t se b a g a i S u m b e r Pen ga j a r a n d a n P em b e l a j a ran S e j a r a h ·                    I n t ...